Puisi dukalara PKP: Ibu Tua.

Berkaca mata si Ibu Tua,
memandang mentari mengundur diri.
Seorang diri meniti masa,
anak – anak tiada di sisi.

Bukan tidak dikasih zuriat,
warta perintah menghalang ziarah.
Along gagal mendapatkan surat,
tidak dapat merentas daerah.

Bakul beras hampir ke dasar,
cukuplah untuk perutnya seorang.
Tiada daya hendak ke pasar,
menanti ikhsan pemberian orang.

Menyusur tangga menahan mengah,
dikatup dikunci pintu papan.
Tiada khabar dari Angah,
sedang berjuang dibarisan hadapan.

Batuk bertalu bersahut-sahutan,
ubat di gerobok hampir kehabisan.
Hajat dihati inginkan rawatan,
Apakan daya bila keseorangan.

Mengalir air membasahi muka,
mula berwudu’ ingin bersolat.
Lara hati terkenangkan Uda,
punca rezeki kini tersekat.

Biar susah biar sengsara,
makan sahaja apa yang ada.
Asalkan anak cukup segalanya,
lapanglah hati Ibu Tua.

Selesai sudah tiga rakaat,
duduk di atas hamparan sejadah.
Khabarnya Alang tidak sihat,
kesembuhan dipohon tangan ditadah.

Apa daya kudrat badan,
tiada jalan menghulur pertolongan.
Doa sahaja mampu dipanjatkan,
agar anak dilindungi Tuhan.

Ateh menelefon bertanya khabar.
dalam diam makan bercatu,
Tidak mahu menambah gusar,
pada Ibu tidak diberitahu.

Pada Ilahi segalanya diserah,
pohon dilindungi anaknya disetiap saat.
pohon diangkat segala musibah,
doa IBu yang paling berkat.

Diatas bantal terkenangkan Acu,
entahkan makan entahkan tidak.
Berhujan kehilir, berpanas ke hulu,
agar sewa tidak tertunggak.

Ibu Tua pejam mata,
mengharap lena penawar penat.
Telah dijanjikan kepada kita,
takkan lewat walau sesaat.

1 thought on “Puisi dukalara PKP: Ibu Tua.

Leave a Reply to mrhanafi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge