Penting Sangatkah Kekayaan Duniawi?

Agaknya, manusia yang tidak mahu kaya mungkin hanya segelintir wujudnya. Aku tak ingat pada umur berapa tahun aku tahu menyebut perkataan duit. Tidak dapat juga aku pastikan sejak umur berapa aku mengenal erti kekayaan. Agaknya sampai sekarang belum, sebab aku belum berada di kelompok satu peratus manusia itu.

Pernah dengar iklan syampu yang menghapuskan 99% kelemumur atau pembasmi kuman yang menghapuskan 99% bakteria? Kenapa satu peratus itu terselamat? Jika diibaratkan kelemumur atau bakteria itu seumpama manusia, satu peratus yang terselamat itulah golongan kayangan yang paling atas.

Golongan yang tidak tersentuh oleh undang-undang, golongan yang tidak ditimpa masalah kegawatan, malah, sekalipun meletusnya perang dunia, golongan ini masih boleh terus kekal aman, dibalik benteng timbunan kekayaan. Hanya ajal sahaja yang memadam kewujudan mereka di muka bumi.

Golongan ini bukan golongan yang jahat kesemuanya.

Formula rahsia menjadi kaya.

“Rich people don’t do it for money. They do it for their passions, the money will come.” antara yang aku pernah baca. Susah untuk aku terima apa lagi untuk aku fahami. Mungkin sebab itu aku belum lagi layak bermastautin di kayangan.

Manusia melihat apa yang berada di sekelilingnya. Aku memerhati manusia yang disekitar aku, sama ada saudara mara, kawan-kawan, orang yang aku kenal secara peribadi atau yang aku kenal secara tidak langsung. Seperti juga manusia lain, aku suka membuat kesimpulan, walaupun tidak semestinya kesimpulan aku betul.

Ada orang yang dilahirkan dalam keadaan serba daif, sehingga makan bercatu, pakai bertampal. Tapi itu kisah dahulu, kisah yang kalau dijual sebagai autobiografi, boleh menambah kekayaan dia. Walaupun yang menulisnya bukan dia. Itulah tahap yang aku panggil orang kaya yang namanyapun laku keras.

Ada orang yang lahir dalam keluarga serba cukup, tidak begitu mewah, serba serbi secukup rasa, namun tujuh keturunan kemudian, itulah juga keadaan hidup cucu cicitnya.

Ada orang yang bermula dari bawah, melonjak ke puncak, kemudian diuji dengan hilangnya harta kekayaan. Sehingga ada yang bangkrup. Namun boleh bangun kembali, mencipta kembali nama, menokok kembali harta. Semuanya berlaku dalam satu kehidupan sahaja, kadang kala naik turun dan kembali kepuncak ini hanya dalam masa sedekad sahaja.

Sedangkan ada orang lain yang berdekad berlalu, bumbung dikepala masih disewa.

Jadi, sebenarnya wujudkah formula cepat kaya ini?

Kaya itu mindset.

Frasa ini biasa didengar dalam seminar, dalam buku, ataupun sekadar di kongsi di kedai kopi ketika sedang meracun prospect untuk menyertai skim cepat kaya. Aku sebenarnya setuju dengan konsep asalnya. Kaya itu mindset. Aku bukan bersetuju dengan skim cepat kaya.

As within, so without. Semua yang terjadi kepada kita, jadinya dua kali. Pertama diminda, kedua di alam nyata.

Tapi yang paling aku yakin ialah kaya itu rezeki. Kalau tak kaya juga, itu juga rezeki.

Aku perasan dalam beberapa temubual dengan orang-orang berjaya, sama ada yang aku baca atau tonton, mereka menyatakan nak menjadi billionaire itu mudah, nak mengekalkan diri sebagai billionaire itu yang agak mencabar. Tidak pula mereka menggunakan perkataan susah, ye tak?

Kata mereka lagi, orang yang kaya ini, telah sedia kaya, sebelum dia ada duit lagi. Sebaik sahaja dia ada sedikit duit, duit itu akan terus membiak dan bertambah. Agaknya kerana keajaiban kelapan dunia itu. Sebaliknya, orang yang miskin itu tetap akan miskin walaupun diberikan duit berjuta.

Aku rasa ada betulnya. Aku pernah terbaca kisah seorang gelandangan yang menang loteri akhirnya kembali menjadi gelandangan dalam masa beberapa tahun sahaja.

Mereka yang ada mindset yang dimaksudkan akan terus menarik kekayaan, mereka yang tiada, walau dihidangkan sekali kekayaan itu di dalam talam emas, tunggu sahaja masanya segala-galaya lenyap. Silap-silap talam emasnya pun digadai.

Yang menariknya, mindset ini boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja.

Penjenayah boleh kaya, penipu boleh kaya, ahli politik korup boleh kaya. Banyak lagi contoh orang yang pada mata aku tak patut kaya memiliki kekayaan yang melimpah ruah.

Dalam masa yang sama orang tidak berpelajaran tinggi pun boleh kaya. Contohnya seorang tukang sapu yang setelah matinya baru diketahui mempunyai simpanan di dalam bank yang melayakkan dia digelar jutawan. Boleh cari kisah ini di internet. Kisah yang membuktikan hanya sekadar menyimpan secara tetap setiap bulan, sejak mula bekerja boleh mencapai status jutawan.

Orang terpelajar juga boleh menjadi kaya. Ini contoh yang amat kerap dijumpai. Profesyen yang bergaji tinggi biasanya memerlukan orang yang pendidikan tinggi. Pernah dengar juretera yang angka gajinya memenuhi separuh calculator ? Juretera ini terkejut apabila mengetahui pemilik kilangnya tidak tahu membaca, menggunakan whatsapp pun hanya denga fungsi rakam suara.

Jadi, kesimpulan yang aku buat, mindset itu boleh dimiliki sesiapa sahaja tanpa mengira tahap akhlak mahupun tahap pendidikan seseorang.

Pernah tak terfikir nak jadi jutawan dengan buat produk sendiri?

The money stories.

Walaupun pelbagai orang, melalui pelbagai situasi boleh menjadi kaya, aku tertarik kepada satu jenis orang kaya. Aku kagum dengan orang kaya yang bermula dari susah, dari bawah, sebelum berada dipuncak,seperti satu peratus bakteria yang gagal dihapuskan pembasmi kuman.

Sekiranya aku baca autobiografi mereka, atau baca artikel temuramah mereka, pasti mereka akan menceritakan satu cerita kesusahan yang sama, yang sering diulang-ulang dalam temubual dan buku yang berbeza.

Apa sebenarnya itu?

Aku baru tahu itulah, money stories. Satu kejadian dalam kehidupan mereka yang menyebabkan tekad mereka untuk mengubah kehidupan itu menjadi bulat, menjadi punca kekuatan untuk mereka berusaha, menjadi The Big Why kepada mereka.

Perasan tak?

Aku ringkaskan. Contohnya seperti di bawah;

A berkata; “Bila aku besar nanti aku nak cari duit banyak – banyak, aku nak hidup senang”

B pula kisahnya begini. Ketika B terbangun tengah malam, dia terlihat maknya makan nasi dengan garam, walhal tadi semasa dia dan adik beradik makan malam, maknya kata kenyang lagi. Menagislah B tanpa suara dibawah selimut.

A berazam hendak mempunyai banyak duit, B berazam untuk tidak akan membiarkan maknya makan nasi dengan garam lagi.

Soalan aku; antara A dan B rasanya siapa yang lebih berpotensi untuk jadi jutawan?

Tiada jawapan yang salah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge