Pengajaran Peribadi Covid 19.

Dunia dilanda musibah, secara tiba-tiba, tanpa amaran yang nyata. Pandemik yang mulanya menjadi tajuk berita luar negara dan paparan akhbar antarabangsa akhirnya tiba di bumi Malaysia. Wabak yang merebak dengan cepat tanpa kita bersedia sepenuhnya. Lebih setahun telah berlalu, kita masih terbelenggu, berjuang mencari titik penyelesaian.

Dalam masa setahun ini, pelbagai pengajaran yang aku terima bagi diri aku sendiri.

Covid -19 boleh membawa maut.

  1. Risiko yang paling ditakuti ialah nafas yang terhenti kerana jangkitan virus Covid-19.
  2. Setiap hari, kita disajikan dengan angka. Angka kes positif baru harian. Bilangan kematian harian dengan Covid-19 sebagai asbab. Jumlah kluster baharu yang tercetus.
  3. Angka – angka ini menyeramkan, menakutkan kerana angka ini mencerminkan tahap keadaan umum jangkitan di Malaysia.
  4. Angka ini mungkin hanyalah angka bagi sesetengah rakyat. Selagi angka itu bukan disumbangkan oleh orang terdekat, selagi nombor itu bukan statistik yang mewakili ahli keluarga, angka hanya dilihat sebagai angka oleh sebahagian kita.
  5. Pengajaran pada aku, statistik ini bukan sekadar hanya nombor. Angka itu ialah seorang ibu, seorang ayah, seorang anak dan mungkin seorang taulan rapat kepada seseorang.
  6. Setiap angka itu melaungkan kesedihan, kerisauan, malahan ada juga yang mewakili kehilangan.
  7. Sedihnya bila melihat ada yang berada dalam keadaan penafian, seolah wabak Covid-19 tidak mungkin menjengah paru-paru mereka.
  8. Covid-19 itu nyata, kematian itu benar-benar terjadi, dan ada antara kita yang sudah berpisah selamanya dengan yang tersayang, menjadi korban wabak ini.

Perintah Kawalan Pergerakan.

  1. Perlembagaan Malaysia menggariskan hak untuk setiap rakyatnya bergerak bebas di dalam negara, melangsungkan kehidupan di dalam batas perundangan.
  2. Hak itu kemudiannya terpaksa dicatu demi mengekang kemaraan Covid-19.
  3. Perintah kawalan pergerakan diperkenalkan, menyekat pergerakan, menghalang berhimpunan dan memaksa rakyat tanpa keperluan mendesak untuk duduk dirumah masing-masing
  4. Virus Covid-19 bukan seperti kawanan burung yang boleh terbang merentas segala sempadan mukim, daerah dan negeri dengan sendirinya. Covid-19 perlu kepada manusia untuk dibawa kemana-mana. Jangkitan antara manusialah yang menyebarkan virus ini. Justeru itu, pergerakan manusialah yang disekat untuk mengekang penyebaran covid-19.
  5. Perintah kawalan pergerakan mengundang pelbagai reaksi.
  6. Tanpa merujuk sebarang statistik atau fakta, aku merasakan kali terakhir Malaysia dikawal sebegini ketat mungkin semasa darurat, mungkin semasa ancaman bintang tiga melanda, atau mungkin semasa konfrantasi antara negara.
  7. Semasa ancaman Covid-19, sejarah sekali lagi menukilkan sekatan jalan raya terpaksa diadakan di seluruh negara. Barisan Polis yang berfungsi sebagai penjaga keamanan dan pelindung negara dikerahkan sepenuhnya untuk melaksanakan perintah ini.
  8. Besar sungguh cabaran yang perlu dihadapi Sang Saka Biru.
  9. Bagi yang akur, faham dan menghormati tugas yang digalas mereka, sekatan, rondaan dan pemeriksaan oleh Polis dilihat sebagai perlindungan.
  10. Kemudian mata aku menangkap luahan di media sosial, rungutan di balik papan kekunci dan yang lebih menyedihkan caci maki yang dilempar sesuka hati.
  11. Kemudian, sebahagian Angkatan Tentera Malaysia dikerahkan pula untuk membantu. Maka seragam berceloreng mula kelihatan di sekatan jalan raya.
  12. Ada yang mula melatah malah ada juga segelintir yang mula membantah.
  13. Tentera bekerjasama dengan polis bukan perkara yang baharu. Sudah bertahun rondaan bermotosikal bersama dibuat. Kalau tidak silap bermula di bawah Strategi Lautan Biru.
  14. Aku berasa hairan kenapa perlunya mereka yang mempersoalkan penglibatan tentera dalam usaha ini. Apakah yang mereka takutkan sebenarnya?
  15. Apa perlunya tentera membawa senjata, kata mereka? Kenapa perlu dipisahkan tentera dengan ‘nyawa’ mereka, kata aku. Polis juga bersenjata, tapi tidak pula ada kes sesuka hati orang awam ditembak di sekatan jalan raya. Jadi, tidak perlu dikhuatirkan tentera yang bersenjata, kerana mereka amat terlatih untuk mengendalikannya.
  16. Ada video yang tersebar memperlihatkan anggota polis tidak dihormati dan dicaci maki kerana melaksanakan tugas. Aku berpendapat itu melampau.
  17. Polis dan tentera amat patuh kepada arahan. Apa yang dilaksakan mungkin bukan pilahan diri sendiri, tapi kerana perintah dan arahan, mereka berdiri berjam-jam di situ, melaksanakan amanah.
  18. Tidak sedikit luak kemanusiaan kita apabila kita menghormati manusia lain, apatah lagi manusia yang menjalankan amanah negara, sebagai rakyat, kepatuhan kepada undang-undang itulah yang menjadi kayu ukur kesetiaan kita kepada negara. Tiada yang suka digelar pengkhianat negara.

Pandemik Covid-19 melumpuhkan ekonomi.

  1. Susah sangatkah untuk duduk dirumah? Ujar sebelah pihak. Ye memang susah. Kami terpaksa bersesak, hilang mata pencarian, berkurung di belakang pintu. Ujar sebahagian yang lain.
  2. Pandemik ini kesannya besar. Jurang kekayaan yang sudah lama wujud makin terserlah dalam keadaan yang tidak menentu.
  3. Situasi bagi yang telah lama duduk di kerusi empuk, mereka juga terjejas pendapatannya. Duit yang sentiasa mengalir masuk umpa air lalu, kini mungkin dalam keadaan pasang surut. Mungkin projeknya ditangguhkan, mungkin kilangnya ditutup sementara, mungkin barangan import eksportnya tidak dapat merentas negara.
  4. Syukurnya, dalam keadaan begitu, mereka masih boleh duduk mewah di rumah, hidup atas apa yang telah dikumpul selama ini.
  5. Malah ada yang bertemu dengan lubuk duit yang baharu.
  6. Tidak susah duduk rumah, kalau bangun pagi makanan terhidang, boleh berenang dsalam kolam di laman atau menonton huru hara dunia dari ruang tamu.
  7. Tapi mereka bukan orang jahat. Mereka orang yang dimurahkan rezeki, mereka orang yang berpayung ketika hujan menderu lebat.
  8. Mereka hanyalah bongkak apabila tidak peduli kelangsungan hidup orang lain.
  9. Aku temui banyak orang yang kaya harta, kaya juga empatinya. Bantuan dihulur tanpa berkira, pekerja dibayar gaji, walaupun mungkin buka penuh, walau perniagaan terpaksa ditutup.
  10. Mereka orang yang faham konsep saling bergantung. Sebahagiannya orang yang faham harta tidak kekal. Sebahagian lain pula faham, semakin banyak diberi, semakin banyak yang diterima.
  11. Segelintir pula tetap buta dalam kekayaan mereka, kekal percaya titik peluh merekalah yang mengekalkan mereka mewah dalam mas aorang lain menggelupur dicengkam wabak. Mereka mungkin sedang lupa.
  12. Berbeza pula kisah insan yang sebelum pandemik melanda sudah penuh cabaran hidupnya.
  13. Dahulu, dipagi hari, ruang sempit yang dipanggi jannati itu melihat seorang demi seorang keluar dari pintunya. Yang anak menuju kesekolah, yang bapa keluar membanting tulang, yang ibu sesudah penat berkemas rumah keluar pula mgais rezeki. Demi kelangsungan sebuah kehidupan.
  14. Apabila dipaksa berkurung, tong beras yang tidak pernah penuh kini mula nampak dasarya. Hari tidak bekerja ialah hari tidak berduit. Kalau sebelum ini di malam hari boleh berhimpit seketika menanti siang menjelma, tetap lena kerana penatnya badan kerja. Semasa tidak dibenarkan keluar rumah, terpaksa berhimpit sepanjang hari, sambil kepala dibeban berfikir apa yang hendak dimakan.
  15. Pada pendapat aku tidak mungkin dapat kita samakan nikmat hidup bagi semua orang. Perbezaan kehidupan inilah yang membentuk masyarakat. Yang senang membantu, yang kurang dibantu.

Golongan kayangan.

  1. Sebelum Covid-19 aku tidak sedar tentang kewujudan golongan yang dinobatkan sebagai ‘golongan kayangan’.
  2. Aku rasa golongan ini tidak mewakili golongan orang kaya. Aku rasa golongan ini bukanlah golongan orang berkuasa. Pada pendapat aku golongan kayangan ialah golongan yan merasakan dirinya perlu dilayan tidak seperti manusia biasa, tapi sebagai manusia yang tinggi darjatnya.
  3. Jika diungkapkan dalam ayat yang lebih mudah, pada aku golongan kayangan ialah manusia bongkak, tidak kira berharta atau tidak, tidak kira berkuasa atau tidak.
  4. Kita semua adalah manusia Ciptaan Tuhan. Tidak salah menyantuni satu sama lain.

1 thought on “Pengajaran Peribadi Covid 19.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge