MELANGSAIKAN HUTANG KAD KREDIT ATAU MENYIMPAN UNTUK KECEMASAN, YANG MANA PERLU DIDAHULUKAN?

Jikalau kita telah mempunyai hutang kad kredit yang banyak tapi masih belum mula menyimpan untuk tabung kecemasan, yang mana perlu dicapai dahulu? Ini soalan yang popular dalam ilmu pengurusan kewangan peribadi.

Perbincangan kali ini hanya terhad kepada hutang kad kredit, bukan hutang lain seperti hutang PTPTN, hutang rumah atau hutang pinjaman peribadi.

Mari kita lihat sedikit sebanyak tentang kad plastik serbaguna yang dinamakan kad kredit ini dahulu. Jika ada slip gaji, sebenarnya amat mudah untuk permohonan kad kredit diluluskan. Bagi pendapatan sendiri yang patuh membayar cukai pendapatan tahunan, borang BE Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga boleh dijadikan bukti pendapatan yang kukuh untuk permohonan kad kredit.

Biasanya had kredit akan diberikan hampir sama dengan tiga kali ganda pendapatan kasar bulanan kita. Maknanya bank sedia memberikan kita pinjaman segera (hanya dengan meleretkan kad kredit) tidak melebihi had itu. Ingat baik-baik perkataan tiga kali ganda itu.

Kad kredit merupakan bentuk pinjaman peribadi mudah yang tidak memerlukan penghantaran dokumen, pengesahan slip gaji, atau penjamin. Leretkan, pembelian boleh terus dilakukan. Masukkan ke dalam ATM, pinjaman terus boleh dikeluarkan.

Tetapi, bunga, atau interest daripada baki kad kredit yang gagal dijelaskan amatlah tinggi, biasanya sekitar 18%. Empat kali ganda kadar yang dikenakan oleh pinjaman peribadi Bank Rakyat dan tujuh kali ganda pinjaman pembiayaan membeli kenderaan.

Berapa pula saiz tabung kecemasan yang sepatutnya setiap orang ada? Buat permulaan jumlah yang biasanya disyorkan ialah tiga kali ganda daripada perbelanjaan bulanan. Maksudnya, jika tiba-tiba kita tidak lagi menerima sebarang pendapatan, tabung kecemasan itu mampu menanggung perbelanjaan kita selama tiga bulan.

Tabung ini disyorkan ditambah sehingga saiznya mencapai 12 bulan. Bermakna kita mampu hidup dengan menggunakan simpanan daripada tabung ini semata-mata selama setahun tanpa bekerja.

Perasan tak? Tabung kecemasan digunakan untuk menampung perbelanjaan sekiranya hilang punca pendapatan. Tayar pancit bukan diganti daripada tabung kecemasan. Wujudkan tabung penyelengaraan kenderaan. Ambil kira kos pembaharuan insurans, cukai jalan, dan pembaikan luar jangka.

Sakit pening bukan dari tabung kecemasan. Wujudkan tabung untuk lawatan ke klinik atau hospital. Ataupun dapatkan medical card atau insurance kesihatan.

Dalam konteks kewangan peribadi, Tabung Kecemasan hanya digunakan untuk menanggung perbelanjaan bagi kelangsungan hidup sekiranya kita hilang punca pendapatan secara tiba-tiba. Itu sahaja.

Jadi, bagi mereka yang merancang untuk menjadikan kad kredit sebagai Tabung Kecemasan cuba bayangkan situasi ini: Hilang punca pendapatan, hidup bergantung dengan membuat hutang menggunakan kad kredit.

Menakutkan.

Tapi itu bukan jawapan hakiki kepada soalan yang menjadi tajuk kita tadi.

Siapa yang perlu melangsaikan hutang kad kredit sebelum menyimpan?

Jika akaun simpanan biasa, simpanan tidak menjanjikan kadar pulangan yang lumayan. Malah, pulangan atau dividen yang diberi amat sedikit, amat jauh berbanding kadar bunga kad kredit.

Pad apendapat peribadi aku, dalam keadaan ini sekiranya aku mempunyai RM500 lebih pada bulan itu, aku tidak akan menyimpannya. Sebaliknya RM500 itu akan aku gunakan untuk mengurangkan baki kad kredit terlebih dahulu. Baki rendah, bunga rendah. Dalam keadaan ini aku merasakan membayar hutang kad kredit lebih berbaloi daripada menyimpan.

Bagaimana pula jika aku melakukan kedua-duanya serentak? Separuh bayar baki hutang kad kredit, separuh lagi akan aku simpan? Ada tiga perkara yang akan mempengaruhi keputusan aku dalam situasi ini:

  1. Semakin lama dibiarkan kad kredit mempunyai baki tertunggak, semakin tinggi bunga dan caj lewat bayar yang dikenakan.
  2. Simpanan yang sedikit itu mungkin tidak mencukupi untuk membiayai hal-hal luar jangka.
  3. Displin yang kurang akan menyebabkan simpanan digunakan untuk tujuan yang kurang penting, kemudian kad kredit terpaksa dicaj semasa keadaan mendesak.
kalau nak bebas dari hutang kad kredit kenalah berdisplin, bayar tiga kali ganda lebih daripada minimum jangan dipotong kad kredit tu, boleh guna. Yang penting belajar cara guna yang betul, barulah tidak terjebak dengan hutang.
Bebas daripda hutang kad kredit

Bolehkah hidup tanpa kad kredit.

Orang di zaman batu bukan setakat hidup tanpa kad kredit, malah tanpa sesen duit sekalipun. Tapi kita manusia moden di era revolusi industri. Bagi sesiapa yang pernah cuba membuat pinjaman perumahan, pinjaman membeli kenderaan atau pinjaman memulakan kali pertama mungkin kaan menghadapi masalah ini.

Bank enggan meluluskan pinjaman kerana credit report tidak menepati syarat. Bukan sebab disenarai hitamkan. Bukan sebab lari dari membayar hutang. Tetapi bank tidak mampu meluluskan pinjaman kerana kita tidak pernah berhutang!

Walaupun nampak pelik, itulah hakikatnya. Bank lebih mudah memberikan pinjaman kepada mereka yang pernah berhutang, tetapi patuh kepada jadual pembayaran hutangnya.

Kerana itu tertunggak membayar ansuran bulanan PTPTN akan merosakkan markah CTOS atau CCRIS anda. Begitu juga dengan ansuran – ansuran lain. Tiada hutang-bermakna tiada rekod. Bagi pihak bank tiada rekod bukanlah perkara yang baik, kerana tiada rekod = tiada markah.

Dalam hal ini kad kredit akan membantu.

Sekiranya kita memohon kad kredit dan diluluskan, enam bulan kemudian situasi ini boleh berlaku. Katakanlah dalam tempoh enam bulan itu kad kredit langsung tidak pernah digunakan. Dalam laporan kredit kita menunjukkan kita mempunyai rekod, iaitu sebagai pemegang kad kredit. Semakan dalam tempoh enam bulan itu menunjukkan kita tidak pernah tertunggak bayaran.

Hanya bayaran tertunggak yang merendahkan markah penilaian kredit kita. Jika tiada tunggakan sebab tidak digunakan, ialah masih diambil kira sebagai tiada tunggakan.

Dengan markah ini, pinjaman berikutnya lebih mudah diluluskan.

Apa perlu dilakukakan sekiranya sudah mempunyai hutang kad kredit.

Ramai pemilik kad kredit mudah terjebak dengan hutang sehingga memaksimumkan had kredit mereka. Apabila sudah berhutang, pihak bank akna menetapkan satu jumlah minima yang perlu dibayar pada bulan itu. Jika dibayar di bawah paras minima ini, penalti akan dikenakan dan ditambah kepada bunga sedia ada.

Sudah tentu membayar baki tertunggak kad kredit pada jumlah lebih sedikit daripada bayaran minima akan merosakkan skor kredit kita, menggelapkan masa depan untuk membuat pinjaman yang lain. Bank akan mengenalpasti anda sebagai ‘orang berisiko’ yang berpotensi lari dari hutang.

Sebaik-baiknya selesaikan jumlah penggunaan kad kredit anda setiap kali sebelum tarikh yang ditetapkan. Selesaikan dengan bayarna penuh ataupun full settlement. Itu yang sebaiknya.

Tapi, kebiasaannya orang akan menggunakna kad kredit kerana tiada berduit untuk melakukan pembayaran. Sekiranya duit itu memang sedia ada, adalah lebih bijak untuk menggunakan kad debit sahaja. Kecualilah mereka yang terpaksa berbelanja di tempat yang tidak menerima kad debit tetapi menerima kad kredit.

Perkara yang boleh dilakukan jika tidak mampu membayar sepenuhnya bil kad kredit:

  1. Bayar sekurang-kurangnya tiga kali ganda bayaran minima yang ditetapkan di dalam bil.
  2. Hentikan penggunaan kad kredit untuk mengelakkan baki hutang bertambah.
  3. Sekiranya hanya membayar jumlah minimum sahaja, masa yang diambil untuk melangsaikan kad kredit itu akna menjadi amat panjang dan bunga sentiasa dicas keatas baki tertunggak setiap bulan. Menguntungkan bank, merugikan pemegang kad.

Kesan melangsaikan hutang secara mendadak.

Ambil contoh menurunkan berat badan. Pertama yang pelu ada ialah sasaran. “Aku hendak kurus” bukanlah sasaran. Sasaran ialah sesuatu yang boleh diukur secara tepat. “Aku hendak berat badan 50 kg” ini barulah sasaran.

Cubalah bertanya kepada mereka yang pernah menurunkan berat badan secara drastik. Tiba-tiba bersemangat bersenam sampai sakit badan yang melampau. Tiba-tiba mengubah corak pemakanan secara tiba-tiba. Mereka berjaya mencapai berat badan yang dihajati dalam masa yang singkat.

Berapa ramai pula kembali menjadi obes selepas mencapai berat itu? Kenapa? Perubahan drastik amat perit dilaksanakan. Apabila sasaran tercapai, secara alaminya akan timbul satu perasaan puas dan lega kerana perkara yang dihajati menjadi realiti.

Turun berat mendadak menyebabkan payu dara nampak besar?
Apa akan jadi kalau berat badan turun mendadak?

Perasaan lega dan puas ini akan menyebabkan empunya badan kembali releks, memperlahankan senamannya, tidak lagi makan dengan displin yang ketat. Dalma masa yang sekejap sahaja badan kembali naik.

Begitu juga dengan hutang kad kredit. Hutang mesti diselesaikan secepat mungkin tanpa bertangguh. Itu aku setuju. Tetapi sekiranya dibayar dengan terlampau cepat sehingga menyebabkan kita terpaksa hidup dengan terlampau pahit, hutang yang baru sahaja diselesaikan itu akan muuncul kembali.

Baki kad kredit yang diselesaikan akan memberikan kita kepuasan. Dalam masa yang sama had yang boleh digunakan dalam kad kredit itu kembali maksima.

Gatal tangan timbul.

Tanpa disedari, kad kredit itu kembali berbaki, dan akhirnya kembalik maksimum. Tiada erti kalau mampu melangsai hutang kad kredit dalam amsa tiga bulan sekiranya tiga bulan kemudian had kad kredit kembali maksima digunakan.

Apa yang sebenarnya cuba kita ubah ialah tabiat menggunakan kad kredit bukannya berapa baki hutang. Jika dibayar, hutang akan berkurang, kalau menepati syarat pembayaran minimanya.

Tidak salah sedikit mengikat perut untuk melangsaikan hutang, malah ada orang yang mampu menahan diri secara maksimum terhadap keinginan lain bagi tujuan melangsaikan hutang kad kredit.

Namun ianya tidak sesuai untuk semua orang.

Perubahan gaya hidup mendadak dari segi kewangan boleh mendatangkan tekanan, kerunsingan dan kemurungan. Perasan negatif ini tidak membantu kita mengikis sifat suka berbelanja tanpa kawalan.

Sebaliknya, penyelesaian hutang secara terancang boleh memberikan kita didikan positif dalam mengubah tabiat menguruskan duit kita. Semestinya ada benda yang perlu dikurangkan, tapi kita tidak perlu mengorbankan segala-galanya.

Sasaran yang boleh diukur sebenarnya boleh membantu dalam melunaskan hutang kad kredit. Semak baki, tetapkan sasaran. Contohnya, aku ingin melangsaikan baki hutang kad kredit dalam masa 12 bulan, dalam masa 20 bulan atau apa sahaja timeframe yang realistik. Dengan mudahnya kita boleh tahu berapa yang perlu dibayar sebulan, sekurang-kurangnya.

Potong kad kredit, perlukah?

Gamabr orang menggunting kad kredit ini sudah semacam simbolik dengan kebebasan daripada hutang. Benarkah? Tiadak pada aku. Aku melihat kad kredit sebagai senjata.

Kerana itu mereka yang kaya memilikinya. Kerana itu mereka yang berjaya memilikinya.

Senjata ditangan yang jahil membahayakan pemegangnya, ditangan yang pakar ia melindungi pemengangnya. Kad kredit juga begitu. Bukan salah kewujudan kad itu sebab kita berhutang, tapi salah tangan yang menggunakannya. Jadi lebih baik kita mempelajari cara menggunkana senjata ini daripada membuang senjata ini.

Namun, sebelum mahir, boleh dilakukakan langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan hutang kad kredit menjadi buruk tanpa perlu memotongnya.

Jangan bawa kad kredit sepanjang masa.

Seperti senjata atau alatan tajam lain, jangan sewenang-wenangnya dibawa ke sini sana. Lebih kerap kad kredit dibawa, lebih mudah ia disalah guna. Bawa kad kredit dalam situasi yang perlu sahaja, contohnya keluar negara atau perjalan yang jauh.

Sengaja membawa kad kredit ke pasar raya sememangnya mengundang bahaya.

Namaun, ada orang yang sentiasa membawa kad kredit kerana mereka tiada sumber wang kecemasan yang lain. Sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan, mereka megharapkan kad kredit.

Situasi ini boleh diterima dan difahami. Bagi mereka, terdapat juga cara untuk ‘merantai’ kad kredit tersebut daripada digunakan sewenang-wenangnya:

  • Jika disimpan didalam dompet, simpan kad kredit ditempat yang sukar dilihat dan dicapai. Contohnya di bahagian berzip, atau menggunakan dompet hanya untuk mengisi kad sahaja. Dompet untuk wang tunai gunakan yang lain.
  • Letakkan kad kredit di dalam sampul duit raya dan digam. Jika timbul keinginan untuk meleratkan kad kredit di pasaraya, mungkin perasaan malu untuk mengeluarkan kad kredit itu dari sampul raya akan membantutkan niat itu. Sekiranya keadaan cemas betul berlaku, malu itu sendirinya akan pergi. ‘Rantai’ kad kredit kita dengan sampul duit raya.

Menukarkan penggunaan kad kredit kepada penggunaan tunai secara perlahan lahan.

Sekiranya telah mempunyai hutang kad kredit yang gagal dibayar penuh secara full settlement, maka cubalah menggunakan tunai sekerap mungkin. Isi minyak dengan tunai, lupakan sekejap mata ganjaran yang boleh dikumpul sekiranya membayar minyak petrol atau diesel dengan kad kredit. Setidak-tidaknya dalam tempoh membayar balik hutang kad kredit itu.

Pembelian online sudah boleh menerima kad debit yang fungsinya sama dengan pembayaran tunai. Larang diri daripada melakukan pembayaran online menggunakan kad kredit.

Jangan sesekali menggunakan fungsi cash advance pada kad kredit kita. Fungsi ini membenarkan pemegang kad kredit membuat pengeluaran tunai di mesin ATM dengan caj tertentu (Ya, caj yang tinggi). Walaupun cara mengeluarkannya sama dengan cara mengeluarkan duit menggunakan kad ATM, kesannya tidak sama.

Apa yang pernah aku lakukan ialah aku menghadkan kad kredit aku hanya untuk pembayaran bil secara auto billing sahaja. Mungkin boleh ditiru, mungkin ada cara lain yang berkesan.

Hutang kad kredit boleh dihindari, boleh diatasi.

Mencegah lebih baik daripada merawat. Mengelakkan berhutang menggunakkan kad kredit lebih baik daripada perhempas pulas membayarnya kemudian.

Kebijaksanaan pengguna kad kredit yang menentukan keberkesanan kad kredit sebagai senjata kewangan. Jadikan kad kredit satu senjata yang melindungi diri, bukan senjata yang memakan tuan.

ITU HUTANG KAD KREDIT, BAGAIMANA PULA HUTANG PTPTN?

1 thought on “MELANGSAIKAN HUTANG KAD KREDIT ATAU MENYIMPAN UNTUK KECEMASAN, YANG MANA PERLU DIDAHULUKAN?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge