Lastik: Hobi melastik ketapil dan slingshot.

Lastik yang dijadikan sinonim dengan permainan kanak-kanak kampung bukan lagi sekadar dahan langsat bercabang yang diikat tiub basikal. Di dalam sejarah lastik pernah menjadi alat memburu, senjata peperangan dan turut diungkap dalam mitos dongeng.

Selain lastik, alat ini juga dikenali sebagai ketapel, slingshot atau catapult. Dalam bentuk modennya, lastik tampil dalam pelbagai variasi menarik dan menawan.

Melastik Memori.

Memori melastik aku bermula dengan meminjam gergaji tangan abah atau golok tajam atuk. Segerombolan anak kampung berseluar pendek berselipar jepun meredah dusun dan semak. Ada seorang yang berkaki ayam, beberapa yang lain pula tidak berbaju.

Mata meliar mencari dahan pokok kayu bercabang yang sesuai dipotong untuk dijadikan badan lastik. Pokok manggis dan langsat menjadi pilihan utama. Dahan jambu merasa (jambu batu) juga boleh ditetak jika sempurna cirinya.

Setelah ditetak dahannya, bahagian becabang ‘Y’ dipotong teliti untuk mengelakkan sebarang rekahan. Jika sudah merekah, tidak payah diteruskan hasrat untuk membuat lastik. Di hujung cabang itu ditakit sedikit sebagai tempat letak getahnya nanti.

Bagi yang menabung, getah dan pelapik boleh dibeli dari kedai runcit. Getah tebal kekuningan (kadang kala merah) dengan pelapik kulit bewarna hitam dengan lubang di kiri dan kanannya.

Walaupun murah, biasanya kami tiada walau sekupang. Maka tiub basikal lama menjadi sasaran untuk dijadikan getah lastik. Boleh diminta segelung dari kedai basikal. Atau kami intai sahaja di bawah gelegar atuk, yang sengaja dikumpul sebagai umpan api membakar sampah.

Pelapiknya apa sahaja cebisan terpakai yang tebal dan lasak boleh dipotong bersegi empat. Lubang dikiri dan kanannya dilubangkan dengan paku, tempat berpautnya getah lastik yang dipotong panjang dari tiub basikal tadi.

Kebanyakan kami membuat sendiri lastik. Tiada yang mengajarnya, tiada video panduan. Yang ada hanya pemerhatian, kaedah cuba jaya dan tidak putus asa. Kebiasaanya lastik pertama yang berjaya digunakan, bukanlah lastik pertama yang dibuat.

Menembak, memanah dan melastik.

Tanyalah kepada sesiapa yang pernah menggunakan senjata api, menembak memang mendatangkan kepuasan. Namun senjata api bukanlah satu alat yang boleh merasa digunakan oleh semua orang. Lesen diperlukan malah undang-udang senjata api amat ketat dan kesalahan berkaitannya boleh membawa hukuman mati.

Pilihan kedua mungkin sukan memanah. Ramai yang meminatinya, teringin mencuba dan jatuh cinta dengannya. Sebagaimana cinta antara manusia, cinta kepada sukan memanah juga memerlukan wang ringgit. Kasih sayang sahaja tidak mencukupi.

Lebih banyak wang yang dibelanjakan, lebih hebat pengalaman memanah yang diperolehi.

Ketapal Lastik Besi dengan peluru tanah

Lastik atau ketapel menjadi alternatif murah. Walaupun ledakannya tidak sekuat senjata api, atau tidak menembusi laksana anak panah, tetapi perasaan, ‘menembak’ itu masih boleh dikecapi.

Untungnya zaman sekarang, tidak perlu lagi bersussah payah mencari dahan bercabang. Lasti boleh dibeli sahaja. Jika masih mahu dibuat sendiri, kayu dan papan keras banyak boleh dibeli. Power tool seperti dremel mudah digunakan untuk membentuk badan lastik.

Banyak pilihan yang ada. Bebadan kayu, yang dibuat daripada besi atau aluminium dan daripada plastik yang tahan lasak.

Peluru-peluru lastik.

Pengetahuan am menyatakan peluru lastik yang juga dipanggil anak ketapel, biasanya terdiri daripada batu atau kerikil kecil yang boleh dikutip di mana-mana. Malahan batu kecil ini juga kini boleh dibeli dalam pelbagai warna warni, yang tujuan asalnya untuk menghiasan lantai akuarium.

Namun, anak kampung yang lama bermain dengannya pasti tahu membuat perluru sendiri. Tanah liat yang dimampat dan diuli bulat. Kemudian didiangkan disebelah bara atau dijemur untuk dikeraskan. Peluru tanah liat ini lebih jauh terbangnya, lebih tepat sasarannya dan lebih laju perginya.

Anak wawasan 2020 tidak berlu berselut mencari tanah liat. Tidak perlu menggentelnya menjadi biji. Beli sahaja secara atas talian. Cuba cari mud ball atau clay ball dengan saiz sekitar 9mm atau 10mm. Murah dan sudah tersedia.

Melastik menggunakan bebuli tanah liat ini lebih selamat. Kalau tepat mengena biji mata masih boleh mendatangkan buta. Tapi selainnya, apabila biji tanah liat ini terkena permukaan keras ianya akan pecah segera.

Selain itu, alam juga sedia ada membekalkan peluru semula jadi. Secara amnya apa sahaja buah atau biji yang boleh dimuatkan ke pelapiknya, boleh dilastik. Antaranya biji saga yang merah menyala, biji getah, biji sawit lerai (berminyak), atau terung pipit.

Guli kaca juga boleh dijadikan peluru. Murah dan mudah diperoleh. Sama dengan guli congkak atau guli yang diletakkan sebagai hiasan di dalam akuarium.

Bagi orang dewasa yang meminati lastik, bebuli keluli (ball bearing) boleh dijadikan anak peluru lastik sekiranya anda faham risikonya. Lastik menjadi lebih berbahaya dengan peluru besi ini.

LAstik boleh dihiasi dengan paracord line untuk tujuan gengaman.

Berhati-hati melastik.

Sebelum mujudnya sejata moden, lastik pernah menjadi senjata. Sebagaimana senjata lain, lastik berbahaya dan lastik boleh memakan tuan. Mugkin dilibas getah yang putus, mungkin dituju peluru yang melantun. Berhati-hati sentiasa dan berfikir dengan matang.

Bermainlan di dalam kawasan kebun, di padang lapang. Jika menggunakan peluru yang keras dan berbahaya, pastikan di belakang sasaran ada tanah berbukit, atau digantung kain sebagai penampan, atau menghadap sungai. Atau peluru sesat tidak mencedarakn sesiapa atau merosakkan harta benda.

Mungkin lastik tidak dinobatkan sebagai permainan tradisional, tapi tiada salahnya kita kekalkan kewujudannya sepanjang zaman.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge