Labur, Labur, Lebur! Roti Kuah Banjir Satu.

Berlatarbelakangkan kedai mamak (boleh jadi kedai kopi); Adi Kaya menjemput Mat Jenin, sahabat yang lama tidak bersua untuk bersemuka. Perjumpaan untuk bertanya khabar dan berkongsi cerita alang-alang berada berdekatan kata Adi Kaya. Mat Jenin tidak membantah.

Akulah Mat Jenin itu.

Hidup Senang Tolong Orang.

Setelah berbasa basi sejenak ketika, minuman yang dipesan tiba ke meja kami. ” Jadi, apa projek kau sekarang ?” Adi mengajukan soalan kepada aku. “Projek macam mana tu ?” Aku bertanya kurang pasti.

“Tak de lah. Ramai geng kita dulu dah berjaya. Aki Jagat dah buat bisnes rumah sewa dan homestay. Din Cricket dah ada dua cawangan used car.” Adi Kaya cuba menghirup sedikit teh tarik gelas besarnya. Namun diletakkannya kembali apabila terasa airnya masih panas.

” Ani Pikachu dah jadi senior engineer di kilang Intel. Nan Putih kerja di Dubai dah berapa tahun, tak balik-balik lagi. Seronok buat duit kerja di luar negara. Jadi engkau je yang tak de dalam radar, tu aku tanya sekarang kau buat apa?” Panjang lebar Adi Kaya buat opening.

Oh nak tahu aku kerja apa sekarang….

Hati aku mendetik bersama firasat yang dapat meneka arah kemudi bicara Adi Kaya. Muka – muka insan yang disebutnya terpapar dalam kepala aku. Aku sedar semua yang diceritakan Adi Kaya kerana aku juga memiliki media sosial. Bezanya aku lebih suka menjadi silent reader.

“Aku biasa je Adi, buat bisnes online sikit-sikit. Alhamdullilah bolehlah nak hidup”. Jawap aku ringkas.

“Aku ni bukan apa. Aku ni dah boleh dikira senang la sikit. Tu aku niat nak bantu apa yang patut kepada kawan-kawan. Siapa lagi nak bantu bangsa sendiri? Agama pun suruh kita tolong menolong.” Ayat Adi Kaya kemas disusun seolah rangkaian skrip yang sering diulang untuk dihafal.

Awal betul kau keluarkan kad bangsa dan agama ye.

Aku diam, mengangguk, cuba memberi perhatian kepada isi apa yang cuba disampaikannya. Skrip Adi Kaya membantutkan hasrat aku untuk menghurai “bisnes online” aku itu.

Aku tidak berkongsi ilmu kepada yang tidak mahu.

Tak Berani, Tak Untung.

“Marilah melabur dengan aku” Adi Kaya tanpa berselindung terus menzahirkan niatnya. Aku senyum, kerana firasat aku benar. Namun aku teruskan juga mendengar. Mana tahu mungkin yang disampaikannya betul dapat membantu aku, saudara sebangsa dan seagamanya ini.

“Macam mana tu?” Aku memberi lampu hijau.

Adi Kaya meletakkan iPhone yang baru saja dilancarkan bulan lepas ke atas meja. Masih berkilat iPhone bewarna graphite itu. Walaupun sekilas, aku kenal itulah model terkini. Kerana aku juga memiliki iPhone dari model yang sama, bewarna biru, di dalam kocek seluar.

Adi Kaya mula bercerita. Bermula dari hidupnya sederhana, kegagalannya dalam berniaga sarang burung walit, sehinggalah bangun kembali melalui perlaburannya, dan kini hidup mewah. Memang aku simpulkan cerita Adi Kaya dalam satu ayat sahaja kerana aku malas hendak menceritakan perincian hikayatnya.

Aku mendengar bersahaja, hanya sekali – sekala memberi jawapan pendek, mengiayakan atau mengangguk-angguk kepala agar Adi Kaya terus bercerita. Aku ingin memberi ruang dan peluang kepadanya.

Sudah tentu cerita dari miskin menjadi kaya ini tidak sempurna tanpa cerita sebak susu anak habis, cerita sedih tidak cukup duit untuk mengisi minyak kereta dan cerita simpati meminjam di sana sini.

Semua aku iyakan sahaja, kerana memang benar ceritanya dan bukan rekaan. Aku tahu apa yang terjadi kepada Adi Kaya sedikit sebanyak daripada tiupan angin Selat Melaka dan wifi rumah aku. Cuma ceritanya mungkin terlebih monosodium glutamate.

Tidak baik untuk kesihatan.

“Kau tengok kereta apa aku pakai sekarang,” Adi Kaya menjuihkan bibir ke seberang jalan. Aku memanjangkan leher sedikit, melihat arah yang ditunjukkan. Sebuah MPV mewah bewarna hitam dengan plat pendaftaran “KAYANGAN 88”.

Mungkin kereta klon, ataupun kereta lari cukai. Boleh jadi juga kereta curi. Entah – entah kereta lari dari bayar bulanan bank.

Hati busuk aku mula memberi idea untuk memburukkan Adi Kaya.

Entah-entah bukan kereta dia pun, bukan susah nak semak atas nama siapa didaftarkan. RM 10 sahaja kalau nak buat cabutan maklumat no pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Agaknya, sekarang ini akulah ketam yang sedang menarik kaki ketam lain yang cuba keluar dari baldi kami.

Mungkin sebenarnya aku sekadar meluat. Katanya tadi hendak memperkenalkan aku dengan pelaburan. Tapi, sudah setengah jam bercerita, masih belum masuk isu pelaburan, atau apa perniagaannya.

Yang diceritakan hanyalah kekayaan. Kekayaan dia, kekayaan mereka yang melabur dengannya. Entahkan betul-entahkan tidak. Ligat jari Adi Kaya meleret di skrin telefon bimbitnya menunjukkan kereta mewah yang dipakai oleh ‘pelabur’ seangkatannya, rumah mewah, lawatan ke luar negara dan majlis – majlis di hotel.

Walaupun ceritanya panjang dan meleret, aku harus akui Adi Kaya ada bakat menjadi Tok Dalang wayang kulit.

“Nak untung besar kita kena berani keluar modal untuk melabur” Adi Kaya baru hendak menyentuh tentang pelaburannya. Tidak aku nafikan kenyataan itu ada kebenarannya.

Aku menghirup teh tarik yang sudah mula sejuk. Hidungku menangkap sedikit bau hancing.

Modal Kecil, Untung Besar, Pulangan Terjamin.

Modalnya kecil sahaja. RM 20,000.00. Tak keras mana. Bayar RM 20,000.00, kau masuk team aku, aku ajar A sampai Z, dalam masa setahun kau boleh kaya macam aku. Pakai kereta mewah, rumah besar, simpanan ASB maksimum” Ujar Adi Kaya yakin.

Oh. Sekarang dipanggil team ye? Dulu rasanya istilah yang dipakai ialah downline.

“Busuk-busuk RM 100,000.00 dalam tangan.” Adi Kaya mengengam penumbuk, agaknya hendak memberi impak kepada punchline yang cuba disampaikan.

Untung cepat, Untung terjamin, Tiada risiko? tiga Red Flag serentak. Minda aku masih bermonolog.

“Aku tak de RM 20,000.00, tak boleh la aku join.” Ujar aku mencari jalan keluar dari pujukan Adi Kaya.

“Tak mengapa. Kawan lama punya pasal, aku bocorkan pada engkau teknik shortcut” Adi Kaya melirik senyum. “Kau buat personal loan pada bank. Sekarang ni rate rendah, tak sampai 4%. Kalau tak lulus RM 20,000.00 kau buat RM 10,000.00 isteri kau buat RM 10,000.00.” Adi Kaya mendedahkan ‘teknik shortcut‘nya.

Wah, sampai nak melibatkan bini aku.

“Aku boleh kenalkan dengan pegawai bank. Kawan aku jugak. Kalau setakat RM 10,000.00 memang dijamin lulus.” Adi Kaya terus mendesak. “Return pelaburan ni setiap bulan comfirm atas 10%. Hutang bank 4% jadi 6% dalam tangan kau, modal pun tak keluar.” Adi dengan penuh yakin berhujah.

Sedih Cikgu Fatimah yang ajar matematik kelas kita dulu Adi kalau dia tengok cara kau mengira. Cikgu Pua yang ajar Matematik Tambahan tu pula mungkin akan berguling sakan tertawa dengan perkiraan kau ini.

Aku mula ingin membantah, tapi memandangkan Adi Kaya mungkin sudah terlambat untuk diselamatkan dari kebodohannya, aku biarkan sahaja suara aku bergema di minda tidak diluah ke lidah.

Return of investment (ROI) dijamin melebihi 10%. Red Flag ke empat.

Tiba-tiba aku mendapat helah.

“Macam ni la Adi, aku tak nak pinjam bank. Aku nak pinjam daripada kau, boleh?” Aku memancing reaksi Adi Kaya. “Tak de, bukan aku tak nak bagi. Tapi manusia ni lebih baik kita ajarkan memancing daripada berikan ikan, bukan?”, Adi Kaya menayang bakat berperibahasanya.

“Tak, aku bukan nak free. Kita buat hitam putih, lengkap dengan mati stem semua. Kau boleh letak intrest 5%. Kan untung 10%, aku ambil 5%. Aku bayar tiap bulan sebagaimana aku bayar hutang bank.” Aku terus mengasak Adi Kaya dengan ‘matematik’ yang baru sahaja dibentangkannya tadi.

“Tak….” Adi Kaya mula berubah nada.

“6% kau 4% aku” tangkas aku memotong cakap Adi Kaya.

“Aku tahu sebenarnya kau tak berapa yakin kan?” Adi Kaya cuba mengubah hala perbualan kami.

Bukan aku tak yakin, aku tak percaya langsung sebenarnya.

Aku menghirup kembali teh tarik yang berbaki separuh. Semakin dekat ke dasar gelas semakin manis rasanya. Baik aku melabur kepada diri sendiri, dengan mengurangkan pengambilan gula. Menjaga kesihatan. Kurang sakit, kurang kos berubat. Pada aku itu juga satu pelaburan.

Bau hancing yang aku hidu tadi beransur kuat menusuk ke lubang hidung. Mata aku menjeling ke tandas kedai yang terletak dekat dengan meja kami.

Jangan Risau, Syarikat Berdaftar SSM.

“Syarikat ni diasaskan oleh satu Dato’ ni, sebab nak tolong bangsa kita, nak tolong ekonomi muslim. Sampai bila nak tengok bangsa sendiri merempat di tanah sendiri” Adik memainkan kembali kad bangsa dan agamanya. Kali ini ditambah kad BMF mungkin.

“Syarikat ini berdaftar dengan SSM”,ujar Adi Kaya sambil menunjukkan salinan SSM di skrin telefonnya. Kemudian disusuli gambar bangunan pejabat dengan terpampang besar nama syarikatnya. Sekali lagi sederet kereta mewah diparkir kemas dihadapan bangunan itu.

Adi Kaya terus menayangkan gambar seolah satu majlis perasmian, kemudian majlis penyampaian anugerah. “Jadi ini bukan skim perlaburan palsu, ada SSM lengkap. Berdaftar.” Tegas Adi Kaya.

“SSM ni maksudnya kita berdaftar untuk berniaga. Mendaftarkan nama perniagaan, siapa pemilik, di mana alamat. Itu sahaja” Aku mula berhujah, kini terzahir di lidah, tidak lagi di dalam hati sahaja.

Adi terkedu. Aku yang dari tadi membisu mula membuka madah seolah berkhutbah.

“Berniaga nasi lemak boleh daftar SSM, bawa teksi pun boleh daftar SSM, along berlesen pun ada SSM. Kedai nombor ekor pun ada SSM, yang jadi jutawannya seorang dua sahaja, yang lain jadi tahi judi.” Aku terus membahan tanpa memberi ruang Adi Kaya menyambung bicara.

“SSM cuma membuktikan perniagaan itu berdaftar. Bukan membuktikan perlaburan itu sah atau tidak” Aku yakin aku betul. Membaca juga satu pelaburan. Aku melabur untuk diri sendiri. Melalui bacaanlah hujah aku ini bertapak.

“Macam ini lah. Aku tunjuk pada kau bisnes plan dan structure pelaburan kami, baru engkau faham, baru engkau yakin” Adi Kaya masih belum berputus asa. Di skrin telefonnya terpampang rajah yang dikatakan struktur pelaburan itu.

Ada beberapa peringkat dalam rajah itu. Mula-mula masuk (bermodalkan RM 20,000.00), ‘pelabur’ akan dikategorikan sebagai rakyat marhain. Sekiranya ‘pelabur’ mampu menarik 5 orang lagi ‘pelabur’ baru (RM 100,000.00) barulah ‘pelabur’ itu dinaikan ke tahap T20. Sekiranya ‘pelabur’ yang baru ditarik tadi pula berjaya menarik lima orang lagi ‘pelabur’, barulah ‘pelabur asal’ tadi mencapai tahap kayangan dengan dijamin pulangan pelaburan melebihi 10% setahun.

macam mana aku nak percaya…

“Kau tengok betul-betul ini bukan MLM biasa atau skim piramid“, Adi Kaya masih cuba meyakinkan aku, walaupun aku rasa keyakinannya sendiri yang mula goyah. Aku merenung kembali skrinnya.

“Alah kau ni Adi… dah kaya raya pun kedekut. Kalau betul nak bentang pelaburan kat prospect pun, print la cantik-cantik. Buat buku ke, kalau rasa mahal buat phamplet ke. Jangan photostat je sudah la. Nampak sangat tak berduitnya”. Bicara aku mebuatkan muka Adi Kaya mula mencuka.

Tutur aku sudah mula hilang alasnya. Mungkin kerana pendekatan Adi Kaya yang terlampau mendesak, atau kerana bau hancing yang kian kuat menusuk.

“Cuba aku tengok bali”, pinta aku. Adi menayangkan kembali skrin telefonnya.

“Betul lah, struktur pelaburan syarikat kau tak nampak macam piramid. Nampak macam segitiga“. Aku menambah garam di luka.

Teh tarik berbaki suku itu, terus aku hirup mencecah dasar.

Walaupun Adi Kaya kurang bijak dalam pelaburan, dia masih ada kebijaksanaan untuk membaca bahasa badan.

Dia tahu aku sudah tidak berminat.

Adi Kaya menghabiskan minumannya kemudia berkata. “Tak mengapa, aku beri engkau masa untuk berfikir, kalau berminat boleh hubungi aku. Jangan lambat sangat, takut nanti penuh.”

Selebihnya hanya bertukar ucapan perpisahan. Adi berlalu. Aku masih dikedai, memesan segelas lagi minuman bersama sekeping roti banjir kerana perut ini belum di alas sejak pagi.

Sambil aku menikmati kegaringan roti canai dicecah dal, aku mengeluarkan telefon, sepintas lalu menjelajah dinding media sosial mencari kemaskini terbaru rakan – rakan. Terpandang aku kemaskini di laman sosial milik Adi Kaya yang baru seminit dikemas kini.

Orang lain tidak mampu menolong kamu, andainya kamu tidak mampu menolong diri sendiricaption menghiasi gambarnya bergaya di hadapan MPV tadi.

Do Not Work Hard, Work SMART” kapsyen digambar kedua. Gambar Adi Kaya memegang sejumlah wang RM 100 yang disusun dalam bentuk kipas.

Baru aku perasan. Sejak Adi Kaya berlalu tadi, bau hancing yang menggangguku itu hilang sam sekali.

Alhamdulillah, hari ini aku tak kena kencing.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge