Cabutan Al-Awfar Bank Islam Sebagai Tabung Kecemasan.

Semasa aku mula bekerja aku dapat beberapa nasihat kewangan daripada saudara mara dan kawan-kawan. “Duit gaji tu simpan sikit”, tak diberitahu pula berapa yang perlu disimpan. “Dah ada kerja simpan duit untuk kahwin”, nasihat popular yang diberikan oleh beberapa orang yang aku kenal. “Cepat-cepat kumpul duit, buat beli kereta, senang nak kesana ke mari”, juga antara nasihat yang aku dengar.

Tiada seorang pun nasihatkan aku supaya bina tabung kecemasan. Tiada siapa yang terangkan pada aku pentingnya memiliki simpanan sekurang-kurangnya enam kali ganda perbelanjaan bulanan. Aku tahu istilah tabung kecemasan ini pun berpunca dari bacaan aku di buku dan di blog yang membincangkan pengurusan kewangan peribadi.

Nasihat paling berguna yang aku rasa paling sesuai diberikan kepada aku semasa aku mula bekerja ialah, “Bina tabung Kecemasan secepat mungkin”.

Permulaan untuk membina Tabung Kecemasan.

Semakin lama aku hidup, semakin aku sedar, semakin banyak aku mengharap bantuan orang lain, semakin kerap aku akan dikecewakan. Apa guna saudara mara, sahabat handai kalau tidak boleh membantu? Tapi sebenarnya, mereka sendiri mempunyai tanggungjawab mereka yang tersendiri. Kalau dari segi kewangan, kenapa mereka perlu menolong diri kita sedangkan kita sendiri tidak menolong diri sendiri?

Sepanjang bacaaan aku yang sedikit ini, aku kongsikan apa yang aku faham tentang Tabung Kecemasan. Langkah pertama untuk aku membina simpanan kecemasan ialah dengan mengetahui berapakah perbelanjaan bulanan aku. Katakanlah aku berazam untuk membuat simpanan Tabung Kecemasan ini bermula pada bula depan (setelah bertahun-tahun makan gaji), aku perlu catatkan setiap perbelanjaan aku pada bulan hadapan.

Komitmen bulanan yang tetap, seperti bil telefon, bil internet, ansuran kereta, sewa atau ansuran rumah, semuanya aku perlu tahu dan tulis, supaya angka ini jelas. Kemudian, aku catatkan juga perbelanjaan untuk makan, minyak, membeli belah dan berfoya-foya pada bulan tersebut.

Jumlah ini menjadi asas untuk menetapkan berapa banyak yang perlu ditabung sebagai simpanan kecemasaan. Kebiasaanya, jumlah ini sama dengan jumlah gaji. Keadaan sebegini terjadi kepada orang-orang seperti aku. Liat untuk menyimpan. Jika jumlah perbelanjaan kurang daripada jumlah gaji yang diterima, lekas-lekaslah sujud syukur, kerana orang dalam keadaan ini boleh diselamatkan, mudah untuk bermula dan senang untuk berjaya.

Katakanlah setelah mengambil kira semua perbelanjaan aku pada bulan pertama, jumlahnya ialah RM 2,000.00 .

Jadi sasaran simpanan kecemasan aku ialah enam bulan perbelanjaan. Aku perlu menyimpan RM 12,000.00 untuk mula berasa selesa.

Bulan kedua, aku akan membuat sebuah panduan bajet, menggunakan kaedah zero sum. Bermakna, semua duit yang aku ada akan diperuntukan untuk tujuan tertentu dan tidak dibelanjakan selain daripada tujuannya. Andaikan aku tidak pernah menyimpan sebelum ini dan andaikan juga gaji aku ialah RM 2,000 sebanyak mana perbelanjaan aku juga.

Living from paycheck to paycheck.

Bulan kedua (bulan pertama aku gunakan untuk memerhatikan jumlah perbelanjaan) aku mesti paksa diri menyimpan. Sejak dari kecil aku dah terbiasa, kalau ada duit belanja sekolah lebih, aku simpan dalam tabung, yang kemudian aku korek untuk membeli apa yang aku hajati.

Aku ingat itu tabiat yang bagus. Rupanya menyimpan baki bukanlah tabiat terbaik untuk menabung.

Aku percaya, simpanan sepatutnya benda pertama yang wajib dilakukan apabila aku menerima gaji. Pay yourself first, kata orang putih. Kalau ditulis dalam bentuk formula, prinsip ini boleh diterjemahkan begini:

Pendapatan – simpanan = perbelanjaan.

Dapat. Simpan. Kemudian barulah berbelanja. Dengan pendepakatan sebegini, aku akan dapat pastikan aku menyimpan jumlah yang tetap secara konsisten setiap kali menerima gaji.

Daripada bacaan aku, jumlah yang disarankan ialah 25% daripada pendapatan kasar. Kenapa pendapatan kasar? Kerana pendapatan itu belum ditolak apa-apa lagi, 25% adalah untuk diri aku sendiri yang penat bekerja. Kemudian barulah untuk tujuan lain.

25% daripada RM 2,000.00 ialah RM 500.00. Aku kena menyimpan RM500 sebulan?

Kegunaan sebenar Tabung Kecemasan.

Aku tak anggap dengan memasang niat untuk membina Tabung Kecemasan semuanya akan menjadi seperti di rancang. Aku andaikan aku berjaya menyimpan RM 500 sebulan, jika setiap bulan aku mencapai sasaran, Tabung Kecemasan aku akan sempurna dalam masa 24 bulan, iaitu dua tahun.

Tidak dinafikan akan ada pergerakan keluar masuk duit daripada tabung ini. Namapun tabung kecemasan, semasa kecemasan kenalah guna. Tapi kalau setiap bulan cemas, mesti ada sesuatu yang tak kena.

Semasa mula membina tabung ini, aku tetapkan untuk guna kaedah zero sum budget. RM 2,000 tolak RM 500 berbaki RM 1,500. RM 1,500 ini aku perlukan siap-siap kegunaannya. Berapa untuk makan, berapa untuk kereta berapa untuk rumah dan sebagainya. Lebih sahaja dari peruntukan, perbelanjaan itu tidak boleh dilakukan.

Kalau rasa kaedah zero sum budget rumit sangat, boleh guna kaedah envelope. Contohnya begini, RM 2,000 tolak simpanan RM 500 bakinya RM 1,500. Katakanlah gaji seterusnya 30 hari lagi. RM 1,500 bahagi 30 hari ialah RM 50. Bermakna, setiap hari maksimum duit yang boleh dibelanjakan ialah RM 50. Baki yang tidak dibelanjakan dibawa ke hari seterusnya.

Katakanlah tiba-tiba berlaku keperluan untuk sesuatu yang tiada dalam bajet. Keperluan, bukan keinginan. Sale 6.6 di Shopee dan Lazada bukan keperluan, tetapi hanyalah keinginan dan nafsu semata-mata. Keperluan begini bolehlah dipenuhi menggunakan Tabung Kecemasan sekiranya ia dapat mengelakkan aku daripada meminjam dan membuat hutang yang baru.

Guna akaun Al Awfar BIMB untuk Tabung kecemasan.

Bank Islam menawarkan satu akaun pelaburan yang dinamakan akaun Al Awfar. Untuk membuka akaun Al Awfar dengan bank Islam, aku perlu deposit minima RM 100. Pabila aku sudah membuka akaun Al Awfar, baki minimum yang perlu ada dalam akaun ialah RM 50. Jika baki dibawah RM 50, aku tidak boleh withdraw duit.

Yang istimewanya akaun ini ialah pendepositnya layak untuk menyertai cabutan Al-Awfar. Cabutan bertuah yang disediakan oleh Bank Islam kepada pemegang akaun Al-Awfar dengan jumlah hadiah RM 15 juta. Mana tahu satu hari nanti rezeki datag untuk bergelar Jutawan Al-Awfar. Cabutan ini terbahagi kepada tiga kategori.

Cabutan bulanan, baki purata simpanan RM 100.

Sekiranya aku kekalkan baki minima RM 100 di dalam akaun Al-Awfar aku di Bank Islam, aku layak untuk menyertai cabutan bulanan Al Awfar. Jadi, elakkanlah baki akaun di bawah RM 100. Mana tahu ada rezeki untuk memenangi hadiah cabutan bulanan Al Awfar. Hadiah cabutan bulanan Al-Awfar ialah seperti berikut:

  1. Hadiah Utama : RM 100,000 bagi seorang pemenang.
  2. Hadiah Kedua : RM 10,000 bagi seorang pemenang.
  3. Hadiah ketiga : RM 1,000 bagi 50 orang pemenang.
  4. Hadiah Sagu Hati : RM 500 bagi 200 orang pemenang.

Selain cabutan bulan ini, Al Awfar Bank Islam juga menyediakan cabutan bertuah bulanan bagi 13 negeri. Negeri Kedah dan Perlis digabungkan dalam satu cabutan. Hadiahnya ialah:

  1. Hadiah Utama : RM 10,000 bagi seorang pemenang daripada setiap negeri (13 orang pemenang).
  2. Hadiah Kedua : RM 1,000 bagi 10 orang pemenang dari setiap negeri (130 orang pemenang).
  3. Sagu Hati : RM 500 bagi 20 orang pemenang dari setiap negeri (260 orang pemenang).

Terdapat juga cabutan bulanan khas bagi kempen Jom Pindah Gaji Bank Islam dengan hadiah seperti berikut:

  1. Hadiah Utama : RM 50,000 bagi seorang pemenang.
  2. Hadiah Kedua : RM 25,000 bagi seorang pemenang.
  3. Hadiah Ketiga : RM 15,000 bagi seorang pemenang.
  4. Hadiah sagu hati : RM 1,000 bagi 10 orang pemenang.

Kesimpulannya, Bank Islam mengadakan cabutan bulanan Al Awfar bagi penyimpan yang mempunyai baki purata melebihi RM 100. Setiap bulan, 668 orang yang bertuah akan terpilih sebagai pemenang dengan hadiah paling tinggi RM 100,000 dan hadiah paling rendah ialah RM 500. Dalam masa setahun 8,016 orang akan menjadi pemenang bagi kategori ini. Bagi memastikan layak untk menyertai cabutan ini pendeposit hendaklah mengekalkan baki purata minimum RM 100 sepanjang tempoh cabutan.

Cabutan Suku Tahunan dengan baki purata simpanan RM 1,000.

Cabutan suku tahunan Al Awfar Bank Islam diadakan pada bulan Mac, Jun, September dan Disember. Bagi melayakkan pendeposit diambil kira dalam cabutan ini, baki purata minimum RM 1,000 hendaklah dikekalkan dalam tempoh cabutan. Hadiah cabutan suku tahunan ialah seperti berikut:

  1. Jutawan Al-Awfar : RM 1,000,000.00 bagi seorang pemenang setiap kali cabutan (4 pemenang setahun).

Bagi kategori junior (baki purata minimum akaun RM 100), hadiahnya ialah seperti berikut:

  1. Hadiah Utama : Macbook Pro 13 inci 128 GB bagi seorang pemenang setiap kali cabutan (4 pemenang setahun ).
  2. Hadia Kedua : RM 1,000 bagi 50 orang setiap kali cabutan ( 200 pemenang setahun ).
  3. Sagu Hati : RM 100 bagi 500 orang setiap kali cabutan (2,000 pemenang setahun ).

Cabutan suku tahunan Al-Awfar memberi peluang kepada 2,208 orang yang bertuah menjadi pemenang dengan hadiah tertinggi RM 1 juta dan hadiah terendah RM 100.

Cabutan Special Al-Awfar separuh tahun dengan baki purata simpanan RM 10,000.

Cabutan Special Al Awfar diadakan setiap enam bulan. Dalam tempoh enam bulan, mereka yang mempunyai simpanan dengan purata baki sekurang-kurangnya RM 10,000 akan layak menyertai cabutan ini. Hadiah bagi cabutan ini ialah :

  1. Hadiah Utama : Mercedez Benz C200 line bagi seorang pemenang setiap kali cabutan (2 pemenang setahun).
  2. Hadiah Kedua : Mazda CX-5 bagi empat orang pemenang setiap kali cabutan ( 8 pemenang setahun ).
  3. Hadiah Ketiga : Umrah / Percutian bagi 20 orang pemenang setiap kali cabutan (40 pemenang setahun ).
  4. Hadiah Sagu Hati : iPhone 11 pro 64GB bagi 20 orang pemenang bagi setiap cabutan (40 pemenang setahun ).

Bagi cabutan Special Al Awfar ini tiada hadiah wang tunai ditawarkan. 90 orang pemenang setahun akan dipilih bagi kategori ini dengan hadiah termahal sebuah Mercedez Benz dan hadiah terendah seunit iPhone 11 pro.

Jadual Cabutan Al Awfar 2021.

Jadual cabutan adalah tertaluk kepada ketetapan dan keputusan pihak Bank Islam. Setakat artikel ini ditulis, laman web memaparkan jadual cabuta seperti berikut:

Jadual Cabutan Bulanan Al Awfar 2021

  1. Tempoh baki minima: 1 Dec – 31 Dec 2020 Tarikh cabutan :13-Jan-2021
  2. Tempoh baki minima: 1 Jan – 31 Jan 2021 Tarikh cabutan : 9-Feb-2021
  3. Tempoh baki minima: 1 Feb – 28 Feb 2021 Tarikh cabutan : 10-Mar-2021
  4. Tempoh baki minima: 1 Mar – 31 Mar 2021 Tarikh cabutan : 7-Apr-2021
  5. Tempoh baki minima: 1 Apr – 30 Apr 2021 Tarikh cabutan : 10-May-2021
  6. Tempoh baki minima: 1 May – 31 May 2021 Tarikh cabutan : 9-Jun-2021
  7. Tempoh baki minima: 1 Jun – 30 Jun 2021 Tarikh cabutan : 7-Jul-2021
  8. Tempoh baki minima: 1 Jul – 31 Jul 2021 Tarikh cabutan : 12-Aug-2021
  9. Tempoh baki minima: 1 Aug – 31 Aug 2021 Tarikh cabutan : 8-Sep-2021
  10. Tempoh baki minima: 1 Sep – 30 Sep 2021 Tarikh cabutan : 6-Oct-2021
  11. Tempoh baki minima: 1 Oct – 31 Oct 2021 Tarikh cabutan : 10-Nov-2021
  12. Tempoh baki minima: 1 Nov – 30 Nov 2021 Tarikh cabutan : 8-Dec-2021
  13. Tempoh baki minima: 1 Dec – 31 Dec 2021 Tarikh cabutan : Akan diumumkan.

Jadual Cabutan Suku Tahunan Al Awfar 2021

  1. Tempoh baki minima: 1 Oct – 31 Dec 2020 Tarikh cabutan :13-Jan-2021
  2. Tempoh baki minima: 1 Jan – 31 Mar 2021 Tarikh cabutan :7-Apr-2021
  3. Tempoh baki minima: 1 Apr – 30 Jun 2021 Tarikh cabutan :7-Jul-2021
  4. Tempoh baki minima: 1 Jul – 30 Sep 2021 Tarikh cabutan :6-Oct-2021
  5. Tempoh baki minima: 1 Oct – 31 Dec 2021 Tarikh cabutan : Akan diumumkan.

Jadual Cabutan Setengah Tahun Al Awfar 2021

  1. Tempoh baki minima :1 Jan – 30 Jun 2021 Tarikh cabutan : 7-Jul-2021
  2. Tempoh baki minima :1 Jul – 31 Dec 2021 Tarikh cabutan : Akan diumumkan.

Menggunakan akaun Al-Awfar Bank Islam sebagai tabung kecemasan.

Rancangan aku begini; dalam perkiraan di awal tadi aku memerlukan RM 12,000 sebagai tabung kecemasan bersaiz enam bulan. Baki simpanan minima untuk cabutan utama akaun Al-Awfar ialah RM10,000 jadi,aku merancang untuk gunakan akaun Al-Awfar sebagai tapak untuk simpanan Tabung kecemasan aku. Disamping menyimpan, boleh juga berpeluang untuk menang, rezeki, siapa yang tahu.

1 thought on “Cabutan Al-Awfar Bank Islam Sebagai Tabung Kecemasan.

  1. Penuhkan dulu tabung kecemasan sebelum memenuhi tabung yang lain.

    sebab kalau ada kecemasan sebagaimana kata bro…tiada siapa yang boleh bantu.

    untuk mempercepatkan penuh tabung kecemasan …isi juga tabung masjid dan tabung sedekah Subuh.

    in shaa Allah berkesan
    mrhanafi telah menulis tentang Rumah impian bersama isteri idamanMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge