Buka Akaun SSPN-i Online Untuk Memudahkan Anak Memohonan PTPTN?

Panduan dan cara untuk membuka Akaun SSPN-i secara online.Ada tiga perkara asas yang perlu kita tahu tentang pembukaan online akaun SSPN-i Plus dan pinjaman pendidikan PTPTN.

  1. SSPN-i Plus ialah simpanan minima secara bulanan dengan jumlah yuran pengajian sebagai sasaran.
  2. Simpanan ini juga dikembarkan dengan insurans.
  3. Simpanan diuruskan oleh PTPTN untuk dilaburkan dan penyimpan atau pendeposit diberikan keuntungan dalam bentuk dividen bagi pelaburan tersebut.
  4. Sekiranya berlaku kemalangan yang menyebabkan penyimpan tidak lagi mampu membayar secara bulanan, pampasan akan diberikan bagi membantu sasaran dicapai.

PTPTN dan SSPN-i Plus.

Semua orang tahu apa itu PTPTN. Kalau masuk ke Universiti atau Kolej, memang wajib tahu. Bagi yang tidak berpeluang masuk ke sana pun ramai yang tahu, lebih-lebih lagi ibu bapa yang menanggung anak di pusat pengajian tinggi. Apa nama penuh PTPTN itu ye? Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN). Itulah nama penuhnya.

PTPN ini pada sesetengah golongan menjadi penyelamat, kerana tiadanya keupayaan kewangan untuk membayar yuran pengajian semester demi semester. Bagi mereka yang berjaya mendapatkan biasiswa, mungkin dah boleh pejam mata. Tapi lazimnya apabila mendaftar ke pusat pengajian tinggi proses memohon pinjaman PTPTN ini antara laluan wajib yang perlu ditempuh.

Bagaimana pula dengan SSPN-i Plus? Jangan terkejut kalau ramai yang kata SSPN-i Plus itu ialah PTPTN. Skim Simpanan Pendidikan Nasional, itulah nama penuh SSPN-i Plus. Huruf i itu bermaksud islamik, sama seperti produk islamik bank yang sering menggunakan huruf i dihujung produk mereka bagi membezakanya dengan produk konvensional.

Bagaimana pula dengan perkataan Plus?.

Kita cerita kemudian.

SSPN; bayar dahulu baru pinjam?

Pada awal kewujudan PTPTN, permohonannya memang mudah. Selagi ada penjamin, kursus yang ditawarkan diiktiraf, kebiasaanya pinjaman PTPTN akan diluluskan. Pada ketika itu kita lihat pelbagai universiti dan kolej swasta saling bersaing untuk menarik pelajar dengan tag linekemudahan kewangan disediakan‘.

Kebanyakananya, kemudahan kewangan ini bermaksud mereka akan membantu pelajar dalam proses memohon pinjaman pendidikan iaitu PTPTN.

Setelah masa berlalu, PTPTN mengalami masalah kutipan balik bayaran. Kesannya, dana yang dikeluarkan sebagai pinjaman tidak dapat dipusing kembali untuk diberikan sebagai pinjaman kepada pelajar generasi seterusnya. PTPTN mengetatkan syarat pinjaman.

Pendapatan ibu bapa dijadikan kayu ukur sama ada pinjaman penuh layak diberikan (termasuk sejumlah duit untuk sara diri), pinjaman yuran pengajian sahaja, atau pinjaman sebahagian. Bagi ibu bapa yang agak tinggi pendatannya, anak mereka gagal mendapat pinjaman penuh, walaupun pada hakikatnya kadang kala mereka mempunyai tanggungan lain dan amat berharap PTPTN meluluskan pinjaman penuh.

Sudahnya, sebahagian daripada yuran pengajian, atau sara hidup siswa siswi ini terpaksa ditanggung sendiri. Bagi yang tidak mampu dan tidak pula mendapat pinjaman penuh, bermulalah episod bekerja sambil belajar, untuk mencari duit poket menampung kos sar hidup di universiti.

Kemudian, PTPTN memperkenalkan satu produk simpanan bagi tujuan Tabung Pendidikan, iaitu SSPN. SSPN kemudian berubah kepada SSPNi dan SSPNi-Plus.

Ini ialah kenyataan yang biasa kita dengar apabila berbual tentang PTPTN. Salah satu syarat untuk memohon pinjaman PTPTN ialah pemohon hendaklah memiliki akaun SSPN-i/SPNi-Plus. PTPTN menggalakkan simpanan ini untuk mengurangkan beban pembayaran balik pinjaman selepas tamat pengajian.

Isu bayaran balik PTPTN buka isu kecil. Isu ini dipolitikkan, dibahaskan, dan selalu dibangkitkan oleh rakyat. PTPTN terpaksa mengambil langkah tegas dengan mengenakan sekatan perjalanan kepada peminjam yang tidak membuat bayaran balik mengikut jadual yang ditetapkan. Mereka disenarai hitamkan.

Adakah PTPTN kejam? Mungkin.

Tetapi PTPTN juga menyediakan penyelesaian yang alternatif yang menimbulkan situasi win-win sebenarnya, iaitu pembukaan akaun SSPN-i Plus. Jika dengan membuka akaun SSPN-i Plus ini satu penyelesaian, kenapa masalah bayaran balik hutang PTPTN masih belum selesai?

Jawapannya mudah, kerana satu kesilapan yang sering berlaku semasa pembukaan akaun ini oleh pelajar atau penjaganya.Akaun hanya dibuka ketika pinjaman hendak dipohon, hanya sebagai memenudhi syarat yang ditetapkan PTPTN. Dengan kata lain, untuk mengelakkan anak-anak kita dibebani hutang pinjaman pelajaran, kita boleh berusaha menabung untuk anak – anak melanjutkan pelajaran.

Jika dizaman tidak berapa lama dahulu, anak yang berjaya mendapat tawaran masuk ke universiti memang menjadi kebanggaan ibu bapa. Jika berasal dari pendalaman atau kampung kecil, adalah menjadi lumrah saudara mara malahan jiran tetangga menyumbang dalam bentuk wang ringgit bagi membantu.

Kenapa?

Kerana jumlah yang berjaya masuk ke pusat pengajian tinggi adalah sedikit. Pelajar yang berpeluang keluar negara pula amat jarang. Dengan pertambahan bilangan kolej dan universiti, dibantu pula oleh sistem pendidikan negara yang bertambah baik, bilangan pelajar cemerlang di Malaysia sudah meningkat. Saingan untuk biasiswa amat sengit. Setiap kali keputusan peperiksaan diumumkan, soalan yang biasa di dengar ialah “Berapa A”, bukan lulus atau tidak seperti pada satu ketika dahulu.

Zaman sudah lama berubah.

Apabila ramai yang cemerlang, tempat juga menjadi terhad. Asas kepada teori supply and demand apabila permintaan melebihi bekalan, harga akan meningkat. Dalam kes ini permintaan ialah jumlah pelajar cemerlang yang ramai, bekalan ialah tempat terhad di universiti dan kenaikan harga ialah kos yang tinggi untuk menamatkan pengajian.

Penyelesaian mudah ialah dengan membuat pinjaman PTPTN. Impaknya pula ialah beban hutang yang ditanggung setelah tamat pengajian. Walaupun keputusan cemerlang, mendapat pekerja yang bagus dan bergaji besar, kelalaian membayar balik pinjaman tetap membuatkan peminjam disenari hitam oleh PTPTN.

Penyelesaiannya?

Berakit-rakit kehulu, berenang-renang ketepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

-Pantun Orang Lama

Menyimpan sebelum masa duit itu diperlukan.

Kenapa perlu menyimpan lebih awal?

Jawapannya ialah compounding effect dalam menabung di SSPNi-Plus. Maksudnya, simpanan lebih awal akan menyebabkan dividen terkumpul menjadikan jumlah akhir lebih banyak berbanding simpanan yang lewat.

Lihat ilustrasi di bawah.

Encik A menyimpan 10 tahun pertama, encik B menyimpan 10 tahun terakhir.

Kemasukan ke Universiti biasanya berlaku ketika anak berusia 18 tahun atau 20 tahun, bergantung kepada perjalanan pendidikannya. Dalam contoh ini kita andaikan anak kita bakal menjejakkan kaki ke menara gading pada umur 20 tahun.

Encik A bermula lebih awal dengan meyimpan sejak tahun pertama kelahiran anaknya dan menyimpan secara tetap selama 10 tahun. Encik A tidak lagi menyimpan setelah anaknya di darjah 4 iaitu 10 tahun kemudian. Mungkin Encik A ada komitmen lain pada masa itu.

Walaupun beliau berhenti menyimpan, simpanan sedia adanya tidak diusik sehingga pada usia anaknya berusia 20 tahun.

Encik B bermula ketika anaknya berada di darjah 5 dan berakhir ketika anaknya mencecah usia 20 tahun, iaitu usia untuk masuk ke universiti selepas STPM atau matrikulasi.

Perbezaan simpanan mereka ialah RM 15,688.

  • Bagaimana pula kalau Encik A terus menyimpan sehingga anaknya mencecah usia 20 tahun?
  • Bagaimana pula nasib Encik B jika simpanannya tidak mencukupi? Anaknya perlu meminjam PTPTN.
  • Bagaimana pula nasib Encik C yang langsung tidak menyimpan dan hanya membuka akaun SSPN-i ketika anaknya hendak meminjam PTPTN?

Anggaran Kos Pengajian di Universiti Awam dan Universiti Swasta dalam Malaysia.

Kita lihat anggaran kos pengajian di Malaysia.

*ANGGARAN KOS PENGAJIAN DI UNIVERSITI AWAM:

  • Bidang Perubatan : RM 12,710.00
  • Bidang Kejuruteraan : RM 8,850.00
  • Bidang Undang-Undang : RM 7,740.00
  • Bidang Perniagaan : RM 7,560.00
  • Bidang Teknologi Maklumat : RM 9,040.00

*ANGGARAN KOS PENGAJIAN DI UNIVERSITI SWASTA:

  • Bidang Perubatan : RM 255,400.00
  • Bidang Kejuruteraan : RM 66,000.00
  • Bidang Undang-Undang : RM 62,040.00
  • Bidang Perniagaan : RM 43,560.00
  • Bidang Teknologi Maklumat : RM 49,610.00

*Kos pengajian ini ialah anggaran yang dibuat pada tahun 2014.

Kita lihat pula bagaimana jumlah pinjaman diluluskan berdasarkan pendapatan penjaga.

  1. Pinjaman Penuh : Pelajar atau penjaga merupakan penerima BR1M.
  2. Pinjaman 75% : Pendapatan penjaga tidak melebihi RM 8,000 sebulan DAN pelajar/penjaga bukan penerima BR1M.
  3. Pinjaman Separuh : Pendapatan penjaga tidak melebihi RM 8,000 sebulan DAN pelajar/penjaga bukan penerima BR1M.

Maksud pinjaman penuh PTPTN.

Pinjaman penuh di sini ialah had maksimum yang dibenarkan oleh PTPTN. Biasanya sama dengan jumlah yuran pengajian sahaja, tidak termasuk penginapan, makan dan pengangkutan. Syarat – syarat ini boleh diubah mengikut keperluan dan kemampuan PTPTN dalam tahun semasa.

Bilakah masa yang ideal untuk saya membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus)?

  1. Sebaiknya ialah ketika anak berusia setahun; Ketika ini saya baru lepas berbelanja besar untuk menyambut kelahiran anak, jadi saya tidak mampu untuk menyimpan.
  2. Ataupun ketika anak mula bersekolah: Ketika ini saya perlu guna banyak wang untuk pendaftaran dan belanja membeli kelengkapan sekolah.
  3. Ataupun ketika anak masuk ke sekolah menengah: Ketika ini rupa-rupanya belanja persekolahan  menjadi lebih besar.
  4. Ataupun ketika anak masuk ke tingkatan 6 atau matrikulasiSaya tidak mampu, kerana kos STPM dan Matrikulasi lebih tinggi.
  5. Ataupun ketika anak mendapat tempat ke universiti dan ingin memohon PTPTNNanti dahulu. Bukankah itu agak terlambat?

SSPNi-Plus menawarkan 6 jenis simpanan, untuk dipilih bersesuaian dengan kemampuan masing-masing. Dalam contoh Encik A dan Encik B tadi, Encik A telah memilih Pakej Zamrud dengan komitmen RM200 sebulan.

Dalam kehidupan di Malaysia yang semua benda perlu di bayar, RM200 merupakan satu komitmen yang besar bagi sesetengah orang. SSPNi-Plus faham dan menawarkan pakej terendah dengan komitmen RM 30 sebulan.

Dengan RM 30.00 sebulan selama 10 tahun bermula dari usia setahun, kita akan mengumpul RM 8,336.60 ketika anak masuk ke Universiti.

Jika kita rujuk kembali kepada anggaran kos di atas yang menunjukkan keperluan yuran pengajian mengikut bidang di universiti awam dan universiti swasta, RM 30 sebulan untuk pendidikan anak membolehkan kita mencapai salah satu dari perkara dibawah. Di universiti awam, kita perlu:

  • Bidang Perubatan : RM 12,710.00 – RM 8,336.60 = RM 4,373.40 (perlu tambah)
  • Bidang Kejuruteraan : RM 8,850.00  – RM 8,336.60 = RM 513.40 (perlu tambah)
  • Bidang Undang-Undang : RM 7,740.00 – RM 8,336.60 =  RM 596.60 (lebihan)
  • Bidang Perniagaan : RM 7,560.00 – RM 8,336.60 = RM 776.60 (lebihan)
  • Bidang Teknologi Maklumat : RM 9,040.00 – RM 8,336.60 = RM 703.40 (perlu tambah)

Itulah sedikit gambaran bagaiana simpanan dari awal dapat membantu yuran pengajian di universiti. Namun tidak semuanya dapat dibantu, dan nombor ini hanyalah anggaran. Kadang kala kursus yang sama menjadi lebih mahal di Universiti yang lebih terkemuka, apatah lagi swasta.

Saya boleh simpan di tempat yang lain dengan dividen / pulangan yang lebih tinggi.

Betul. Terdapat bank atau intitusi kewangan lain yang menawarkan kadar faedah yang lebih tinggi. Jika kita menyimpan di sana, sasaran kita lebih cepat tercapai. Jumlah terkumpul akan menjadi lebih besar. Jadi, itu lebih menguntungkan.

Dengan satu SYARAT: Kita mampu menyimpan dengan konsisten setiap bulan sehingga sepuluh tahun.

Bagaimana sekiranya sesuatu yang tidak diigini berlaku dalam tempoh itu dan kita tidak lagi mampu menyimpan secara bulanan?

Mulai 1 Januari 2012, para pelajar yang ingin memohon pinjaman pendidikan bagi membiayai pengajian mereka di Politeknik, IPTA atau IPTS adalah DIWAJIBKAN mempunyai akaun SSPN-i dengan simpanan minima sepertimana yang ditetapkan oleh PTPTN.

12 kelebihan membuka akaun dan menyimpan di SSPN-i Plus.

12 Faedah membuka akaun SSPNi-Plus (akaun boleh dibuka secara online)

Beikut ialah 12 faedah yang ditawarkan melalui tabungan SSPNi Plus.

  1. Pelaburan patuh syariah dan dipantau.
  2. Pelepasan cukai taksiran sehingga RM 12,000.00
  3. Simpanan bulanan serendah RM 30.00 sebulan.
  4. Dividen yang kompetetif dengan bank lain.
  5. Tidak perlu menjalani pemeriksaan kesihatan.
  6. Manfaat takaful bagi kematian dan hilang keupayaan kekal (kemalangan) sehingga RM 1 juta.
  7. Khairat kematian bagi pendeposit, pasangan dan maksimum tiga orang anak.
  8. Manfaat Takaful bagi 36 jenis penyakit kritikal.
  9. Elaun kemasukan Hospital.
  10. Perlindungan 24 jam seluruh dunia.
  11. Layak memohon pinjaman PTPTN.
  12. Deposit dijamin kerajaan.

Sila teliti syarat ke 11. Kelayakan untuk memohon PTPTN diberikan sekiranya akaun ini dibuka. Satu syarat wajib. Kita cuma boleh memilih masa mana hendak dibuka akaun itu. Seawal mungkin, atau ketika hendak mengisi borang pinjaman PTPTN.

Bagaimana membuka akaun SSPN-i Plus?

Cara membuka akaun SSPNi-Plus yang paling mudah ialah secara online.

Bagi yang kurang cekap mengendalikan komputer, boleh juga membuka secara manual di kaunter Pejabat/Kiosk PTPTN atau wakilnya yang berdekatan.

TIGA KATEGORI AKAUN YANG BOLEH DIBUKA.

  1. ANAK BERUMUR 1 HARI – 29 TAHUN: Akaun dibuka oleh ibu bapa/ penjaga yang sah/ warganegara Malaysia yang lain untuk penerima manfaat yang berumur 1 hari sehingga mencapai umur 29 tahun.
  2. ANAK BERUMUR 18 TAHUN – 29 TAHUN:Warganegara Malaysia yang berumur 18 tahun sehingga mencapai 29 tahun mempunyai pilihan samada untuk membuka akaun individu atau menjadi penerima manfaat dimana akaun dibuka oleh ibu bapa/ penjaga yang sah/ warganegara Malaysia yang lain.
  3. BERUMUR 29 TAHUN DAN KE ATAS. Warganegara Malaysia yang berumur 29 tahun ke atas, perlu membuka akaun individu.

Cara-cara membuka akaun SSPN-i Plus secara atas talian (online).

Hanya ada 4 langkah sahaja yang perlu kita lakukan untuk membuka akaun SSPNi-Plus secara atas talian(online), untuk membolehkan kita mula menyimpan dengan PTPTN.

  1. Skrin pertama memerlukan kita memasukkan butiran anak (penerima manfaat) dan sedikit butiran peribadi pembuka akaun (orang yang memasukkan duit secara bulanan).
  2. Skrin kedua memerlukan kita memilih pakej simpanan (jenis-jenis pakej akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam artikel ini).
  3. Skrin ketiga memerlukan kita memasukkan butiran peribadi diri sendiri.
  4. Skrin keempat dan terakhir ialah skrin untuk kita membuat pembayaran melalui kaedah perbankan internet atau pemotongan gaji.

Apakah Pakej-Pakej Yang ditawarkan oleh PTPTN bagi akaun SSPN-i Plus?

Terdapat enam pakej yang ditawarkan, bermula dari RM 30 sebulan sehingga RM 500 sebulan. Bagi memahami keterangan dalam jadual di bawah, berikut ialah beberapa kata kunci yang penting.

  • *Anggaran purata dividen SSPN-i ialah 4.25% setahun.
  • **KKM : Keilatan Kekal & Menyeluruh
  • *** Khairat kematian pendeposit.
Pakej Intan SSPNi-Plus RM30 sebulan Pakej paling basic paling murah.
  • PAKEJ INTAN (RM 30.00 SEBULAN)
  • Sasaran simpanan ialah RM 7,647.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 40,000.00.
  • Sesuai jika menyasarkan universiti awam sebagai pilihan.
  • Perlu tambahan dengan membuat pinjaman PTPTN atau sumber lain.
Pakej Delima SSPNi-Plus RM50 sebulan
  • PAKEJ DELIMA (RM 50.00 SEBULAN)
  • Sasaran simpanan ialah RM 15,293.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 40,000.00.
  • Boleh menampung keseluruhan yuran pengajian di Universiti awam.
  • Perlu mencari sumber lainn untuk kos sara hidup ketika belajar.
Pakej Tpas SSPNi Plus Simpan RM100 sebulan.
  • PAKEJ TOPAZ (RM 100.00 SEBULAN)
  • Sasaran simpanan ialah RM 34,410.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 40,000.00.
  • Sesuai untuk menampung kos pengajian dan sara hidup di universiti awam.
  • PAKEJ ZAMRUD (RM 200.00 SEBULAN)
  • Sasaran simpanan ialah RM 68,821.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 80,000.00.
  • Boleh menampung yuran pengajian di universiti swasta.
  • Perlu mencari sumber lain bagi menampung kos sara hidup.
  • PAKEJ NILAM (RM 300.00 SEBULAN)
  • Sasaran simpanan ialah RM 103,231.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 120,000.00.
  • Mampu menampung kos pengajian dan kos sara hidup bagi universiti swasta.
  • PAKEJ BERLIAN (RM 500.00 SEBULAN)
  • Sasaran simpanan ialah RM 76,467.00 dalam masa 20 tahun.
  • Jumlah maksimum perlindungan takaful ialah RM 1,000,000.00.
  • Mampu menampung kos pengajian dan kos sara hidup bagi universiti swasta.
  • Mempunyai perlindungan insurans yang jauh lebih besar berbanding pakej lain.

Sudah putuskan pakej mana yang sesuai? Sudah bersedia menabung untuk anak? Buka akaun SSPN-i Plus secara online hari ini.

9 thoughts on “Buka Akaun SSPN-i Online Untuk Memudahkan Anak Memohonan PTPTN?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge