Azam dan 2022

Aku memerhati kalendar kuda di tiang seri, terpaku kemas walau ada kesan dimamah masa. Beberapa helaian kalendar sahaja lagi, tahun masihi akan berubah daripada Tahun 2021 kepada Tahun 2022. Tahun baharu bakal menjelma, sinonim dengan ketibaannya ialah azam yang baharu. Aku tak pasti sepanjang usia ini, adakah aku pernah membuat azam dengan serius, atau mencapai azam yang aku canangkan. Mungkin aku bukan dari golongan manusia yang memiliki keazaman yang tinggi.

Tarikh dan nombor.

Tahun 2022 dipersetujui ramai sebagai tahun yang menarik dan istimewa, jika dilihat dari nilai numeriknya. Walaupun tiada sebarang bancian rasmi dibuat, aku masih yakin ramai yang bersetuju dengan keistimewaan Tahun 2022. Dalam semua hal, keyakinan itu yang paling penting perlu ada.

Keistimewaan Tahun 2022 ini terletak pada nombor dua (2) yang berulang di dalamnya. Tiga kali berulang. Jika mahu empat kali berulang, itu Tahun 2222, mungkin usia dunia juga telah berakhir pada masa itu. Tarikh paling panas pada tahun ini, 22 Februari 2022 atau ditulis sebagai 22.02.2022. Susunan nombor ini dilihat menarik kerana susunannya yang simetri.

Kerana istimewanya tarikh 22/02/2022 ini mungkin ramai yang memasang hasrat untuk menamatkan zaman bujang masing-masing pada tarikh tersebut. Betenang dahulu, cuba lihat ke kalendar. Tarikh ini jatuh pada hari Selasa, tanpa sebarang cuti uum mahupun cuti sekolah. Cuti yang ada pada 22 Februari 2022 hanyalah cuti rehat, cuti sakit ataupun cuti tanpa gaji.

Pilihan kedua lebih menarik. Hari kedua bulan Februari 2022 iaitu 02/02/2022 jatuh pada hari Rabu, bersamaan hari kedua cuti Tahun Baru Cina. Sebarang majlis yang dirancang lebih sesuai untuk diadakan pada tarikh ini. Tarikh yang mudah diingati untuk mengelakkan terlupannya aniversary. Tarikh yang juga sesuai dijadikan nombor pin kerana mudah dihafal, tetapi ia juga mudah diteka.

Aku dan azam.

Aku, tanpa sedar mungkin sudah memasang azam Tahun 2022. Pernah aku dengar, biasanya azam tahun baru hanya mampu bertahan selama seminggu. Jadi, kepada mereka yang ingin azamnya bertahan lama, bermulalah pada minggu ke dua tahun 2022.

Azam aku ialah untuk kembali kerap menulis journal. Sebenarnya, telah mula mengumpul momentum untuk kerap menulis sejak beberapa bulan yang lepas.

Sebelum itu ada baiknya jika aku kongsikan sedikit latar belakang aku menulis journal. Apa yang aku maksudkan ialah menulis dengan pen dan kertas.

Aku tidak pernah mempunyai diari sepanjang masa aku membesar, di bangku sekolah atau di menara gading. Diari pertama yang aku tulis, ketika aku di alam pekerjaan, itupun bukanlah diari atau journal yang teratur, sebaliknya hanyalah nota-nota berkaitan kerja.

Tulisan dan tangan.

Aku mula menulis kerana tulisan tangan aku amat buruk pada ketika itu. Dalam satu perbualan kasual aku dan beberapa orang rakan, rakan-rakan aku sepakat, apabila dewasa, tulisan tangan mustahil diubah. Aku tidak bersetuju, kerana aku percaya kepada dua benda.

  1. Tiada yang mustahil.
  2. Repetition is The Mother of all skills.

Jadi, aku memasang azam untuk mengubah tulisan tangan aku. Pendekatan yang paling logik boleh aku fikirkan ialah dengan menulis journal. Disitulah medan latihan aku. Pada hari ini, aku berpuas hati dengan tulisan tangan sendiri.

Bermula dengan nota berkaitan kerja, aku mula menulis tentang perkara yang lain. Tentang perancangan masa hadapan, tentang peristiwa unik yang berlaku, tentang perasaan dan tentang kekecewaan. Awalnya, aku menulis dengan pen mata bola yang biasanya kita gunakan di bangku sekolah, dia atas apa sahaja buku kosong yang aku miliki pada ketika itu.

Kemudian, aku teringat kepada dua ungkapan yang pernah aku baca;

  1. If you want improvement, invest.”
  2. Use the best tools, for the best results”

Pen dan kertas.

Item pertama yang aku naik taraf ialah pen aku. Masalah dengan ballpen ialah dakwatnya kadang kala terputus dan kadang kala comot. Ada masanya dakwat berhenti keluar walaupun apabila aku ‘bedah’ pen tersebut, masih kelihatan dakwatnya. Mungkin ini sebab ballpen yan aku gunakan terlampau asas. Masalah ini mungkin tidak berlaku pada ballpen yang sedikit mahal.

Aku mencuba dari pen mata bola, pen dakwat gel, dan akhirnya fountain pen. Aku jatuh hati dengan fountain pen. Aku dapati harga yang berlipat kali ganda memberikan hasil yang berlipat kali ganda. Sehingga kini, inilah senarai fountain pen yang pernah aku miliki.

  1. Dua batang pen jenama Parker yang modelnya gagal aku ingat.
  2. Dua batang Lamy Safari.
  3. Pilot Metropoitan.
  4. Pilot Kakuno
  5. Pilor Prera
  6. Franklin Christoph No.27 Collegia.
  7. Sailor 1911 berwarna putih.
  8. Stipula Passaporto
  9. Kaweco Supra.

Dalam senarai ini yang paling ‘sedap’ aku raskan ialah Franklin Christoph #27. Namun pen ini telah hilang hampir enam tahun, begitu juga beberapa pen lain dalam senarai di atas. Semasa aku menulis blog ini, pen yang sering aku gunakan ialah Pilot Prera dan Kaweco Supra.

Bagi medium penulisan pula aku bermula dengan buku yang biasanya boleh diperoleh di pasaraya barang murah ataupun kedai buku biasa. Kualiti kertas mempengaruhi kualiti tulisan. Setelah banyak yang aku cuba, sekarang ada dua yang aku gemari; Midori Traveler’s Notebook dengan isian kertas grid dan MUJI passport memo. Kedua-duanya aku minati kerana keunikan saiz dan kualiti kertasnya.

Pilot Prera and Kaweco Supra with Midori Travelers Notebook for journaling setup.
Menjadikan menulis journal satu azam baharu.

Pasang dan surut.

Perlahan-lahan aku semakin kurang aktif menulis di journal. Alasan aku kerana ditelan kesibukan kehidupan. Apabila aku menulis sesuatu catatan, aku selalu meletakkan bersama tarikh catatan itu dibuat. Ada masanya jarak antara catatan itu memakan masa sehingga sebulan.

Namun, sesuatu yang sudah menjadi sebahagian jiwa seseorang sukar dilupakan walau pernah ditinggalkan. Jadi sempena bermulanya azam tahun baru, aku meletakkan matlamat untuk kembali aktif menulis. Tahun 2020 bakal membuka tirai bersama azamku yang membara.

1 thought on “Azam dan 2022

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge