Apakah yang perlu dilakukan dengan gaji pertama?

Kegembiraan memperolehi pekerjaan tetap, atau setidak-tidaknya kerja kontrak dalam jangkamasa yang panjang memang sukar diceritakan. Hanya mereka yang telah melaluinya sahaja akan tahu perasaaan itu. Apa lagi kalau masa yang agak lama telah berlalu kerana menganggur atau sekadar melakukan kerja yang bersifat sementara.

Setelah puas menghadap panel temuduga.

Setelah penat bersilat lidah.

Akhirnya mendapat kerja.

Kenapa gaji yang pertama itu istimewa?

Pernah dengar istilah ‘ibu duit’? Ingat tak semasa era duit seringgit ialah sekeping syiling emas dengan motif keris di atasnya? Percaya tak ada yang membalut syiling ini dengan kain kuning tertulit ‘ayat’ kemudian diletakkan di dalam bekas duit. Kononya kepingan ini akan menarik dan menggamit gamit duit lain untuk terjun ke dalam bekas itu.

Khurafat sekali kepercayaan itu.

Gaji yang pertama ada bermacam cara untuk diuruskan. Aku masih ingat seorang kenalan, yang menyerahkankan keseluruhan gaji pertamanya kepada ibu bapa.

Bukan sedikit, bukan separuh. Keseluruhan. Gajinya pada ketika itu hanyalah RM1800. Habis, kalau kesemuanya diberikan, kawan aku ini nak hidup macam mana?

Dia orang yang berasal dari keluarga susah. Kehidupannya sudah biasa berlapar, tapi tidaklah bermakna sebulan berikutnya dia akan berpuasa terus menerus. Cuma latar belakangnya begitu.

Dia telah menabung dan mampu hidup seadanya sehingga gaji seterusnya. Jadi gaji yang pertama itu, kesemuanya dihulurkan kepada orang tuanya.

Mampukan pelajar menyimpan duit ketika belajar?

Di sekolah berasrama, memang semata-mata dewan makanlah punca santapannya. Ke kantin tidak, keluar hujung minggu pun jarang sekali. Kalau ada barang yang perlu, hanya dikirim pada mereka yang keluar ke bandar, itupun kalau tidak dijual di koperasi sekolah.

Sabun basuhnya, sabun buku yang dipatahkan dua. Agar dapat tahan lama, diguna separuh, separuh.

Di universiti, memang hidup di atas ikhsan biasiswa, mi segera menjadi makanan ruji, atau nasi putih bermandi kuah sebaneka tanpa ada lauk yang ketara. Sekali sekala ikan keli masak sambal menjadi juadah, mungkin pada hari yang dirasakannya istimewa.

Atau pada hari yang dia terlampau jemu melahap nasi disimbah kuah sahaja.

Susah hidupnya itu rupanya disengajakan, demi merealisasikan sebuah perancangan. Menabung untuk keperluan mencari kerja. Sebaik sahaja tamat peperiksaan akhir, dia terus mengintai setiap kemungkinan kerja sambilan yang ada.

Uniform percuma dengan bayaran RM4.80 sejam pada ketika itu nampaknya lumayan. Sementara menunggu seulung ijazah. Dapat sahaja keputusan, kerja segera dicari. Bas, komuter dan berjalan kaki, di mana sahaja negerinya, dia akan sampai kalau dirakannya berbaloi.

Mungkin manik keringat peluh didahinya yang menyentuh hati panel. Mungkin deretan cemerlang dan baik dalam lembaran transkripnya yang mendorong panel temuduga memilihnya.

Mungkin juga sapaan salam, adab tertibnya yang menambat hati penemuduga. Berdiri kemas tidak melabuhkan punggung sehingga didengar jemputan untuk duduk. Senyum dan menjawab dengan yakin, dengan pandangan tepat ke anak mata.

Biar baju sedikit lusuh, asal diseterika rapi bersih dan tidak tengi. Biar tali leher nampak usang, asal ikatan Windsor kemas mencerminkan sedikit etika protokol ada dipelajari.

Dan akhirnya, sebuah jawatan ditawarkan, diterima dengan hati yang syukur. Bersamanya lahir satu tekad, keazaman untuk menjadikan peluang ini yang terbaik bagi melahirkan satu era baru dalam sejarah kerunan membanting tulangnya itu.

Dizahirkan kesyukuran itu dengan segala apa yang diterima dibulan pertamanya diserahkan bulat bulat kepada ibu bapanya.

Sebagai tanda terima kasih,

Sebagai tanda: kini masaku unutk berbakti, selagi ada nyawa kita.

Tidak semua kisah duit perlu disulam air mata.

Apabila dihidangkan kisah kehipun yang suram dan berliku, kita gelarkan drama Melayu. Kadang kala lipur lara di layar perak itu asalnya cebisan harian kamu, dia dan kita. Kisah yang dicantum, diolah, dilakukan biduanita ayau dengan watak lupa diri. Dijaguhkan teruna tampan memainkan peranan anak bangsawan dari langit yang entah keberapa.

Bercinta.

Air mata.

Tidak semua kisah sebegitu. Tiada kehinaan mencapai kejayaan dalam kehiidupan dengan naugan ibu bapa yang berada. Bagaimana kita bermula tidak menjanjikan kita akan berakhir di tempat yang sama. Kisah dia milik dia, kisah aku hanya untuk aku.

Gaji habis setiap bulan, satu kekecewaan.

Malagnya hidup menanti gaji, kemudian habis menanti lagi. Makin besar diberi makan deras mengalir keluar. Bayar rumah, bayar kereta, bayar bengkel, bayar telefon.

Kenapa tidak bayar diri sendiri?

Upah diberi, gaji diterima, orang pertama yang merasanya, pastikan diri sendiri.

Satu per sepuluh. Sepuluh peratus paling sedikitnya.

Simpan di tempat yang kekal sehingga setidak tidaknya ke usia persaraan. Jika dari mula bekerja sehingga ke usianya emas, 10% daripada gaji disimpan dalam displin yang tetap. Seboleh – bolehnya bermula pada gaji yang pertama. Tidak terlewat juga untuk baru bermula.

Otak Kiri mengundur diri.

1 thought on “Apakah yang perlu dilakukan dengan gaji pertama?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge