7 langkah untuk melangsaikan hutang mengikut kaedah Dave Ramsey: Baby Step 1.

Dave Ramsey merupakan seorang penceramah yang dalam bidang kewangan peribadi (personal financing). Beliau kerap mengadankan seminar kewangan dan coaching melalui kelas yang dianjurkannya. Satu kaedah beliau yang mahsyur ialah Dave Ramsey 7 baby steps towards debt free.

Aku tertarik dengan pendekatan ini dan merasakan ianya sesuai untuk dilaksanakan untuk mereka yang lambat celik dalam pengurusan kewangan peribadi; contohnya aku sendiri.

Setiap perkara yang dilakukan bermula dengan niat, atau boleh juga diertikan sebagai matlamat. Titik akhir kepada perlakuan itu. Kenapa ianya dilakukan atau dalam frasa yang lebih rapat kepada dunia keusahawanan dan kewangan; the BIG WHY.

Begin with the end in the mind, focus on that, the how will manifest later.

Dalam kes ini titik akhir tersebut ialah bebas sepenuhnya daripada hutang ataupun debt free. Nasihat yang mengatakan uruslah gaji atau pendapatan dengan baik seawal mungkin tidak dapat dinafikan.

Orang yang bijak mengawal perbelanjaan sejak awal mempunyai pendapatan biasanya akan hidup lebih tenang, kurang dibebani hutang, bersusah pada awalnya, bersedarhana di pertengahannya dan senang lenang menuju pengakhiran.

Tapi tidak semua kita bergitu, termasuk aku.

Ramai yang terbuka matanya hanya apabila telah memiliki ansuran kereta, bayaran bulanan rumah dan potongan pinjaman peribadi. Lebih buruk lagi, jika kad kredit juga mempunyai baki tertunggak.

Mereka yang dalam kategori ini sesuai mempelajari teknik 7 baby steps towards debt free ini. Panduan yang jika dipatuhi boleh membantu menjadikan kita bebas daripada hutang atau berstatus debt free.

Baby Step 1: Save 1,000 dollars in a beginner emergency fund.

Kenapa kita berhutang? Mungkin untuk berkahwin, membeli kereta, membeli rumah, atau sekadar ada peranti elektronik yang menjadi idaman kita boleh dibayar secara ansuran menggunakan pinjaman mudah seperti AEON Credit.

Mungkin pada mulanya begitu. Tapi sebab utama kebanyakan orang berhutang ialah kerana keadaan yang mendesak. Kereta atau motor rosak contohnya. Kenderaan perlu dibaiki untuk membolehkan kita mencari rezeki. Mungkin berniaga mungkin ke tempat kerja.

Mungkin ada masanya, televisyen plasma 42 inci tiba – tiba meletup, perlu ditukar baharu. Ataupun, peti sejuk tiba-tiba mengeluarkan bau hapak dan tidak lagi sejuk. Pemampat (compressor)nya rosak. Perlu pula digantikan, sama ada compressornya ataupun peti ais itu sendiri.

Malang tidak berbau, poket tidak berisi, maka berhutanglah penyelesaian yang nampak mudah. Ataupun leretan kad kredit yang dengan bunga 18% setahun menjadi penyelesaian.

Bulan depan akan dibayar habis kononnya. Lima bulan kemudian, baki belum sampai separuh.

Kerana keterpaksaan ini kita berhutang. Atau lebih tepat, kerana KECEMASAN ini kita berhutang.

Bertanyalah kepada mana – mana penasihat kewangan. Bacalah mana -mana buku pengurusan kewangan peribadi. Pendapat mereka sama. Jangan buat hutang yang baharu. Kalau hendak melangsaikan kesemua hutang, jangan sesekali mewujudkan hutang yang baharu. Mereka semua akan sepakat mengiyakan pernyataan itu.

Hutang baharu dengan mudahnya boleh wujud dalam keadaan kecemasan. Oleh itu, kita perlu mewujudkan Tabung Kecemasan. Sejumlah duit yang dikumpul dan dihimpunkan bagi keperluan dikala keadaan mendesak. Tabungan duit yang tidak diusik dan hanya digunakan dalam situasi kecemasan kewangan.

Saiz yang disyorkan oleh Dave Ramsey ialah USD 1,000. Mungkin kadar perbelanjaan seharian di sana dan kadar pendapatan disana membuatkan nilai itu logik, boleh (mudah?) dicapai.

Bagi menyesuaikan dengan situasi di negara ini, saya mengesyorkan RM 3,000 sebagai Tabung Kecemasan Permulaan. Ini bukan nilai yang tetap. Mungkin berbeza mengikut pendapat, keperluan dan perbelanjaan diri sendiri. Cuba anggarkan agar tidak terlampau sedikit sehingga tidak mampu membantu kita disaat kesukaran, dan tidak terlalu besar sehingga mengganggu komitmen kewangan yang lain.

Secara amnya, lebih besar saiz Tabung Kecemasan ini, semakin selesa kita akan menghadapi kegetiran kewangan.

Bagaimana memastikan Tabung Kecemasan boleh diwujudkan.

Syarat pertama untuk menabung ialah bukan dengan duit lebihan. Mungkin ada di kalangan pembaca yang seperti aku. Semasa kecil, bersekolah rendah, kita diberikan sejumlah duit belanja. Yang selalu dipesan, kalau ada lebih, nanti masuk tabung.

Maka berdeting-deting syiling dimasukkan ke dalam tabung buluh, tabung plastik replika bangunan Tabung Haji, atau apa sahaja bentuk tabung selepas pulang dari sekolah.

Tidak tepat sebenarnya tingkah laku itu.

Pada hari kita beringat adalah lebihan yang dimasukkan. Pada hari lain yang ada godaan seperti aiskrim dan makanan ringan akan membuatkan aku pulang dengan poket kosong. Jadi, tabung aku mungkin berjaya penuh, mungkin lambat penuh, atau mungkin selamanya statik.

Penyelesaiannya? Pay yourself first.

Masukkan duit ke dalam tabung sebelum ke sekolah, ketika duit masih ada di tangan. Lebihannya barulah dibelanjakan. Dengan kata lain

Perbelanjaan = Pendapatan – Simpanan

bukannya;

Simpanan = Pendapatan – Perbelanjaan.

“Nak, simpan sikit duit belanja sekolah ni tau..” Photo by rawpixel.com from Pexels

Bagi yang pernah membaca buku Richest Man in Babylon mungkin masih ingat syarat pertama untuk seseorang menjadi kaya di Babylon. Fatten thy purse atau ‘gemukkan uncangmu’.

Kiasah yang mungkin dongeng itu, sebenarnya amat rapat dan sinonim dengan kehidupan kita pada hari ini. Setaip kali menerima duit, bayarlah kepada diri sendiri terlebih dahulu. Tetapkan nilai yang logik, sekitar 10% daripada apa yang diterima.

Kalau boleh buatkan akaun sehala yang senang dimasukkan duitnya tetapi mengeluarkannya sedikit leceh. Tabung Haj, ASB, atau fixed deposit adalah contoh yang baik. Abaikan yang mana pulangan lebih tinggi buat masa ini. Fokus permulaan ialah duit haruslah boleh disimpan dan tidak diusik setiap bulan. Biarlah menyimpan di dalam tin milo tanpa sebarang dividen sekalipun, asalkan kita konsisten dan tabung itu tidak diusik.

Jikalau bergaji RM1,000, seratus untuk diri sendiri, disimpan rapi, sebagai langkah pertama membina Tabung Kecemasan. Biar tak cukup perbelanjaan lain, biar terpaksa bercatu, bertangguh atau terpaksa memakai barangan yang lama dahulu, RM100 itu mesti disimpan.

Lakukan sehingga sasaran Tabung Kecemasan Permulaan itu tercapai.

Setelah memiliki Tabung Kecemasan Permulaan.

Pada peringkat ini kita akan mula sedar Tabung Kecemassan Permulaan ini bukan bertujuan untuk kecemasan sebenarnya. Malah definasi kecemasan kita juga mungkin akan berubah.

Kenapa?

Kerana duit yang telah kita kumpul ini dari hasil usaha sendiri, titik peluh sendiri. Pahitnya kita yang tahu, manisnya biar kita tangguh dahulu.

Definasi kecemasan kita yang dahulunya menakrifkan ‘kawan tiba-tiba ajak wayang’ dan ‘awek merajuk’ sebagai kecemasan yang perlu disegerakan akan berubah kepada sekadar perkara biasa yang boleh ditangguhkan.

Takrif baharu kita berubah kepada Tabung Kecemasan mengelakkan kita dari berhutang untuk perbelanjaan yang tiba-tiba dan di luar perancangan. Tabung ini menghalang kta daripada membuat hutang yang baharu, kerana kita kini telah mampu untuk berhutang kepada diri sendiri.

Kalau tak bayar balik hutang itu, diri sendirilah yang rugi.

Jika terpaksa, gunakan, dan ganti kembali ke paras minima tabung itu dengan secepat mungkin. Kita hanya boleh berbelanja seperti biasa pada ketika Tabung Kecemasan itu berada di paras yang sepatutnya.

Bawah daripada itu, kita akan mengikat perut, bagi membolehkan Tabung Kecemasan Permulaan tersebut berada di saiznya yang betul. Semangat untuk mengekalkan jumlah RM 3,000 itu contohnya akan membuatkan kita berfikir banyak kali sebelum berbelanja.

Apa pula langkah seterusnya selepas Baby Step #1 ini? Setelah kita berjaya mencapai saiz yang sepatutnya, RM 3,000.00 dalam contoh yang aku bawa ini, kita akan mula melangkah ke Baby Step #2.

Otak Kiri mengundur diri.

1 thought on “7 langkah untuk melangsaikan hutang mengikut kaedah Dave Ramsey: Baby Step 1.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge