20 tabiat yang menguntungkan dalam menguruskan kewangan peribadi.

Mungkin tidak sampai satu peratus sahaja manusia di dunia ini yang tidak mahu menjadi kaya. Ironinya, hanya satu peratus sahaja yang betul-betul kaya, melebihi kekayaan 99% yang lain. Logik duniawi.

20 sikap tentang duit yang harus diterapkan dalam diri.

Perhatikan orang kaya disekeliling, orang berada, orang mewah atau orang yang kita kira hidupnya tak bermasalah sangat tentang duit. Apabila selalu diperhatikan, kita akan mula melihat satu pattern yang sama. Sikap yang dikongsi bersama oleh mereka yang pandai menguruskan duit.

1. Sentiasalah bermurah hati.

Ada lebih jangan lupa bersedekah / memberi. Jangan ikut nasihat ini. Manusia kalau diberikan segunung emas, dia akan minta gunung emas yang kedua. Kalau diberi isteri kedua, dia akan berangan memasang nombor tiga. Manusia tidak pernah cukup.

Jadi, manusia tidak pernah ada lebih.

Displinkan diri supaya sentiasa memberi. Kalau ringan tulang selalu tolong orang, itu namanya memberi bantuan tenaga. Aku tak bercakap pasal itu. Aku bercakap pasal DUIT, wang, dirham.

Biasakan diri sentiasa memberi, walau sikit, walau seringgit, yang penting setiap hari. Kalau ikhlas bagus. Kalau tidak ikhlas, cuba juga beri setiap hari, supaya tabiat memberi itu menjadi sebati.

Sesetengah orang berkata perkara yang diulang berterusan selama 21 hari akan menjadi tabiat. Ada yang berkata 41 satu hari. Nombornya tidak penting, yang penting, memberi setiap hari akan menjadi tabiat dan akan lekat dalam peribadi kita.

Beri tidak perlu banyak. Tidak juga perlu mencari peminta sedekah yang membanjiri ibu kota untuk memberi. Pada ibu bapa kita boleh memberi, kepada pasangan, kepada anak-anak. Dahulukan yang dekat, sebelum kita menjangkau jauh.

Sentiasalah bermurah hati dengan memberi.

2. Mempunyai lebih dari satu akaun bank.

Orang kaya tidak mempunyai satu sahaja akaun bank. Akaun bank mereka banyak, tempat simpanan duit mereka lebih banyak. Kalau kita ada satu beg sahaja, maka satu beg sahajalah yang kita boleh isi. Kalau ada banyak begnya…

Menyimpan perlu ada tujuan. Setiap tujuan perlu berasingan akaun banknya. Kerana itulah wujud Tabung Haji. Kenapa perlu tabung Haji? Boleh pula buat potongan automatik daripada gaji setiap bulan. Sasarannya tidak pula perlu beratus ribu singgit, cukup sekadar lepas tambang dan belanja ketika haji.

Simpan sahaja di bank mana pun boleh. Maybak, CIMB, atau Hong Leong. Tapi apabila ada akaun yang khusus, kesungguhannya boleh menjadi berlipat kali ganda daripada biasa.

Mereka yang berniat hendak mengerjakan haji akan membuka akaun. Mereka yang ingin melihat anaknya pergi haji awal – awal usia anak lagi sudah dibukakan akaunnya. Kerana matlamatnya jelas. Namanyapun sudah sejelas matlamatnya; Tabung Haji.

Menabung untuk mengerjakan haji.

Jadi, perbanyakkanlah akaun bank. Jangan pula sekadar banyak bilangannya. Biar setiap akaun itu ada tujuannya. Katakanlah Gaji di terima dalam bank CIMB. Tinggalkan sebahagian untuk perbelanjaan harian. Membayar komitmen bulanan seperti rumah kereta dan PTPTN.

Buka pula akaun kedua, contohnya di Maybank. Bahagian ini untuk pelaburan. Pelaburan tidak semestinya MLM atau forex. Mungkin modal berniaga tudung bawal atau dropship. Mungkin modal untuk melabur di Bursa Saham.

Pendidikan juga pelaburan. Kalau ada niat nak buat PJJ, nak ambil kelas kemahiran, inilah tabungnya.

Buka pula akaun ketiga. Tempat dimana sebahagian duit kita ‘dikuburkan’ untuk dibangkitkan pada hari persaraan. Jadikan akaun ini one-way. Masukkan tidak keluar-keluar lagi sehingga mencapai umur 60 contohnya. Tabung Haji atau ASB adalah satu contoh yang baik. Jika ada tempat lain pun boleh juga, dengan dua syarat am;

  1. modal (capital) dijamin.
  2. pulangan melbihi 6%.
Setiap daripada kita layak untuk kaya

3. Sediakan bajet bertulis.

Bajet sebenarnya ialah alamat kepada duit-duit yang kita terima. Dapat RM100? Tuliskan alamat setiap ringgit daripada RM 100 itu. Contohnya, RM50 untuk makan, RM20 untuk minyak, RM 30 untuk baju.

Jangan belanja lebih dari itu. Kebiasaannya kalau kita terlebih belanja satu bahagian bajet, kita akan tarik dari yang lain. Contohnya bajet minyak mencecah RM 30, kita cuba kurangkan makan kepada RM40. Bagi yang baru berjinak dengan bajet, cara ini merbahaya.

Sebaiknya, apabila mencecah sahaja RM20, hentikan penggunaan minyak. Jika mahu dijimatkan dari makan, boleh, tapi bukan pada bulan ini. Pastikan bulan ini bajet makan berlebih, kemudian masukkan lebihan itu dalam bajet minyak bulan hadapan, bukan bulan semasa.

Apabila habis, maka ia habis.

Peganglah kepada prinsip itu dalam menyediakan dan mematuhi bajet.

Untuk memudahkan kita membuat bajet dan berjinak-jinak dengan bajet, mulakan dengan harian dahulu. Cuba tetapkan sehari berapa kita boleh guna, dan untuk apa kita boleh gunakannya. Contohnya RM 30 sehari, RM10 makan, RM 10 minyak, RM10 jajan.

Apabila bajet harian dipatuhi, kembangkan kepada mingguan dan bulanan. Lebih terperinci sesuatu bajet, lebih mudah ianya dipatuhi, kerana kita mempunyai alamat untuk setiap ringgit. Jika ada teringin sesuatu, masukkan dalam bajet bulan hadapan.

4. Jangan takut bajet lari.

Secekap manapun kita merangka bajet, ada masanya tersasar juga perbelanjaan kita. Jangan cepat panik. Oleh kerana kita telah mempunyai bajet bertulis, maka mudahlah untuk dikesan kenapa lebih belanja itu berlaku.

Lebih bagus lagi jika kita mempunyai Tabung Kecemasan yang berasingan. Boleh digunakan untuk memperbaiki bajet, asalkan, top-upkembali gajet tersebut.

5. Sediakan bajet untuk mencapai impian.

Ada masanya kita mempunyai keinginan yang tidak dapat dipenuhi serta merta. Kemahuan yang memerlukan kita menabung. Gunakan pendekatan praktikal dengan mengambil kira perkara berikut.

  • Berapa banyak jumlah wang yang diperlukan?
  • Berapa lama masa yang ada untuk mengumpulnya?
  • Jumlah dibahagi dengan masa = berapa banyak simpanan perlu dibuat setiap bulan.

Jumlah bulanan yang diperlukan ini masukkan sekali ke dalam bajet. Bukan sekadar bil datang hutang sahaja perlu disenaraikan ke dalam bajet, tetapi keinginan seperti downpayment satu pembelian besar, percutian atau pembelian masa hadapan turut boleh dimuatkan ke dalam bajet.

6. Berapa boleh pinjam vs berapa boleh simpan?

Slip gaji yang bersih, mempunyai baki yang banyak di ruang kanan biasanya akan mudah menarik hati pihak bank untuk memberikan pinjaman. Jangan terpengaruh dengan berapa banyak boleh dipinjam.

Pinjaman-pinjaman ini akan kekal ada sebagai potongan gaji di ruang kanan penyata gaji (payslip) untuk tempoh yang lama.

Biarkan ruang di sebelah kanan itu dipenuhi potongan automatik ke ASB, Tabung Haji, atau lain-lain bentuk simpanan berkala yang menguntungkan.

7. Hidup dibawah kemampuan.

Nasihat yang sudah sebati dengan diri kita ialah berbelanjalah ikut kemampuan. Tapi yang lebih baik, berbelanjalah dibawah kemampuan. Ada masanya kita mampu membeli sesuatu, tapi sesuatu yang lain dengan harga yang lebih murah sudah mencukupi.

Maka, belilah yang dibawah kemampuan.

Biasakah kita melihat pengurus syarikat hanya memakai kereta kecil? Hidup melebihi kemampuan ialah satu bencana, hidup dibawah kemampuan ialah satu kekuatan displin.

8. Catatkan perbelanjaan harian.

Dari bank ia datang, kepada bank ia kembali. Pernah dengar? Itulah sifat yang dikaitkan dengan wang. Tabiat mencatat perbelanjaan ini paling mudah dipupuk semasa kecil. Oleh kerana duit yang ada semasa kecil tak seberapa, dan perbelanjaannya pun tak sebesar mana, maka sifat ini jarang diterapkan.

Cuba bayangkan seorang anak di sekolah rendah yang memiliki sifat ini. Sebagai contoh, andaikan sahaja perbelanjaan harian anak ini RM 3 sehari.

Setipa hari dia akan membeli makanan, jajan, minuman. Ada harinya mungkin minuman sekadar air masak bekal dari rumah. Pada hari yang lain, duit tidak dibelanjakan kerana ada membawa bekal. Tapi pada setiap hari jajan tidak pernah lupa untuk dibeli.

Bagi yang tidak faham, jajan ialah nama lain bagi makanan ringan.

Jika murid sekolah rendah ini mencatat perbelanjaannya, satu pola akan dapat dilihat diguhujung bulan. Soalan soalan seperti di bawah akan timbul jawapannya:

  1. Berapa hari dalam sebulan mampu membawa bekal dari rumah?
  2. Apa jenis makanan yang paling kerap dibeli dan berpa harganya.
  3. Jika penjimatan mahu dirancang, apakah perbelanjaan yang boleh dipotong?

Itu cerita budak sekolah.

Orang dewasa mempunyai perbelanjaan yang lebih kompleks dengan jumlah wang yang lebih besar. Mencatatkan perbelanjaan seharian dapat membantu kita menyediakan bajet bulanan, melihat pola perbelanjaan dan merancang aliran tunai dengan lebih baik.

9. Bergembira itu perlu, sediakan duit untuk tujuan berjoli.

Berjoli, satu perkataan yang sinonim dengan pembaziran. Melambangkan sifat tidak bertanggungjawab manusia terhadap wang.

Tapi benarkah begitu?

Manusia bukan robot. Bekerja seharian, tidur, kemudian bangun dan mengulangi erkara yang sama. Hiburan itu perlu. Berhibur itu lumrah semulajadi insan. Kalau ada bezanya, hanyalah bagaimana seseirang itu berhibur.

Berjoli itu mungkin bukan di kelab malam. Mungkin sekadar percutian keluarga yang mendamaikan. Berjoli membeli belah sebagai ‘ubat’ keletihan memerah kudrat.

Berjoli hanya tidak menjadi salah sekiranya kita mempunyai duit untuk tujuan itu. Jika yang dijolikan itu adalah dari sumber kewangan yang sepatutnya untuk tujuan lain, itu barulah pembaziran.

Tidak salah menyimpan RM50 sebulan untuk dihabiskankan membeli belah sempena Aidilfitri. Tidak menjadi keaiban untuk meyimpan RM10 seminggu untuk menonton wayang sebulan sekali. Malah, hanya mereka yang berdisplin sahaja yang mampu menyimpan sejumlah duit bulannan untuk dijolikan dengan bercuti keluar negara setahun sekali.

Oleh itu, sediakan bahagian duit untuk disimpan bagi tujuan ini.

10. Hapuskan hutang.

Menghapuskan hutang biasanya menjadi teras perjuangan mereka yang ingin hidup bebas dari aspek kewangan. Hutang ialah pengikis harta kekayaan seumpama anai-anai yang mereputkan kayu.

Berhutang tidak salah. Malah ada masanya berhutang menjadi keperluan atau jalan tunggal penyelesaian kebuntuan kewangan kita. Contoh paling mudah ialah perbelanjaan kos belajar di universiti. Gandakan beberapa kali bagi kos pengajian di Universiti swasta.

Penyelesaiannya ialah pinjaman pendidikan daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Walaupun bukan penyelesaian tunggal, ianya ialah penyelesaian lazim.

Cerita lain sekiranya ibu bapa kita telah mempunyai simpanan yang cukup melalui akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPNi-Plus).

Walaupun begitu, tidak semua benda perlu diselesaikan dengan jalan berhutang. Sofa tidak memerlukan skim bayaran ansuran. Sekiranya tidak mampu dibeli tunai, bukin sofa itu tidak sesuai dengan tahap pendapatan diri sendiri.

Ukur baju di badan sendiri, dalam fitting room mengadap cermin dengan hati yang penuh terbuka. Sendatkah? Ketatkah?

Jangan terkeliru dengan pendapat mereka yang mengatakan, kita kena berani berhutang untuk menjadi kaya.

Leverage katanya.

Sesekali tidak salah pendapat itu. Namun, tidak semua orang boleh memandu. Perlu pergi ke kelas memandu. Perlu menduduki ujian, malah perlu memperbaharui lesen memandu secara tahunan.

Maksudnya, tanpa ilmu kaedah leverage ini hanya memakan diri. Mereka yang berani berhutang untuk melancarkan projek, memulakan perniagaan, atau apa sahaja, ialah mereka yang pernah melangsaikan hutang.

Mereka sudah penuh ilmu di dada dalam menguruskan aliran tunai. Mereka sudah biasa menghapuskan hutang. Hutang kereta yang sepatutnya tujuh tahun, mereka langsaikan dalam masa tiga tahun.

Jadi, sekiranya kita orang yang belum pernah melangsaikan sebarang hutang, maka kaedah itu bukan untuk kita. Bayangkan sahaja, hutang PTPTN pun culas, bagaimana pula hendak menanggung hutang yang lain?

Belajar menghapuskan hutang, secepat mungkin.

11. Bertangguh dalam membeli.

Bertanggung bukan sifat yang baik dalam menguruskan masa. Namun, dalam melaksanakan pembelian, bertanggung merupakan kaedah yang baik untuk menapis keinginan yang sementara dan hanya melakukan pembelian yang perlu.

Namanya impulse buying.

Pembelian yang berlaku secara amat spontan, berdasarkan keinginan serta merta yang sementara. Kemudian menyesal.

Namanya buyer remorse.

Jadikan satu tabiat untuk bertangguh dalam membeli. Kecualilah barang dapur yang dipesan isteri. Penat Si Isteri menulis senarai barang basah dan kering yang sudah habis, Si Suami berkata;

Saya fikir dulu, dalam masa dua tiga hari”

Tak berasaplah dapur.

Atau susu anak yang habis, jangan pula ditangguhkan pembeliannya, menangis tak sudah nanti.

Bertangguh perlu dalam pembelian kecil bukan keperluan dan juga belian yang melibatkan nilai yang tinggi.

Contohnya, sekiranya berda di gedung membeli belah, ada baju yang cantik, sedang dipromosikan dengan diskaun 50%, bersabarlah dahulu. cuba tanya diri sendiri soalan – soalan berikut?

  1. Betulkah diskaun yang dipaparkan atau memang sebelum ini harganya juga begitu?
  2. Bolehkah aku beli di tempat lain dengan harga yang lebih rendah?
  3. Bila aku aku pakai/gunakan produk tersebut?
  4. Adakah perkara lain yang aku tidak dapat beli/bayar sekiranya aku membuat pembelian ini?

Malah, ada nasihat terkenal di kalangan pakar pengurusan kewangan peribadi.

Kalau ko nak sesuatu barang tu,

Jangan terus main beli kejap-kejap tu jugak, tidur dahulu, biarkan sehari dua.

Kalau dah masuk tiga hari ko teringin jugak, barulah beli.

Lebih afdal kalau ko tunggu tiga kali jumaat.

-kata kawan aku yang dulu kerja offshore.

12. Dapatkan kerjasama daripada pasangan dan ahli keluarga.

Bukan pesanan kepada mereka yang masing bujang. Bagi yang sudah berkeluarga, sama ada berdua atau sepasukan bola, dedahkan kepada pasangan dan setiap ahli keluarga pendirian kewangan kita.

Beritahu impian kita berjimat untuk memiliki hartanah mewah. Kongsikan hasrat kita menabung untuk merasa kereta mahal. Beritahu niat kita berjimat untuk ke Tanah Suci. Pendek kata, panjangkan misi dan visi kewangan kita supaya beban itu dapat dikonsgsi dan apa yang dibuat tidak disia-siakan oleh pasangan atau ahli keluarga lain.

Kewangan merupakan faktor penting kehidupan. Amat sukar mencari duit dan berjimat sedangkan pasangan atau ahli keluarga yang lain membelanjakannya sesuka hati. Kita bukan menteri.

13. Menabung untuk perbelanjaan besar.

Apabila mula timbul hasrat untuk memiliki sesuatu yang mahal, seperti rumah banglo dua tingkat, SUV BMW 7 seaters, ataupun anak dara Tok Imam yang selalu berniqab itu, maka mulalah menabung.

Menabung ini merupakan satu perbuatan yang jika lebih kuat sebab disebaliknya, lebih mudah, lebih kerap, dan lebih berdisplinlah kita dalam melaksanakannya.

Baiklah, mari kita lihat dalam konteks yang lebih realistik.

Setahun sekali kita biasanya akan menghadapi perbelanjaan yang besar, yang berulang dan mesti dikeluarkan setiap tahun. Contohnya:

  • Perbaharui cukai jalan online / offline.
  • Bayar cukai tanah cukai pintu.
  • Perbelanjaan hari raya.
  • Perbelanjaan persiapan anak ke sekolah.

Kebanyakan perbelanjaan ini kita tahu akan berlaku, tapi persediaan kita kurang sehinggalah keperluan itu timbul.

Cukai jalan yang kosnya mencecah RM2000, boleh dikumpulkan dalam masa 10 bulan dengan menabung RM200 sebulan. Bagitu juga perbelanjaan lain. Besar sekiranya dikeluarkan sekaligus, namun sekiranya dibajetkan secara bulanan, bebannya tidak begitu menekan.

14. Jangan mudah terpedaya dengan promosi.

Peniaga, pengilang dan pasaraya besar semuanya sudah bertaubat dan tidak menipu pengguna. Mereka kini hanya malakukan promosi. Promosi tidak pernah menguntungkan pembeli semata-mata.

Promosi yang baik menguntungkan kedua belah pihak. Promosi yang jahat ialah promosi yang menguntungkan penjual sahaja.

Oleh itu, berhati-hati dengan promosi. Sebaiknya kita sebagai pengguna tahu harga semasa sebelum dan selepas promosi sebelum membeli. Harga seblum promosi bukanlah harga yang dipotong semasa diskaun dipaparkan.

Pernah atau tidak situasi ini berlaku?

Bulan lepas aku tengok cadar tu harganya RM 200,

Bulan ni aku tengok cadar yang sama ada promosi: Harga asal RM 360, potongan 50%, harga selepas diskaun RM 180.

Berdosa besar ke kalau tulis diskaun 10% sahaja?

-aku masih tak faham.

Didik diri untuk memilih, membanding dan membuat perbelanjaan bijak.

15. Bersedia untuk kecemasan.

Kecemasan ini ibarat tanah runtuh. Duit yang kita kumpul berbukit-bukit hilang sekelip mata sebab kecemasan. Nasib baik ada bukitnya. Kalau tiada, maka timbulah hutang baru.

Oleh itu kecemasan perlu mempunyai tabungnya tersendiri.

Tabung ini sebenarnya tidak semestinya dalam bentuk tabungan atau simpanan duit tunai. Contohnya kos perbelanjaan perubatan, pembayaran insurans perubatan atau medical card boleh dianggap sebagai persediaan kecemasan bagi menghadapi situasi itu.

Begitu juga dengan kematian.

Hidup sentiasa pakai duit, matipun kena duit.

Tapi bila ko mati nanti ada tak tinggal duit untuk anak bini?

-abang burger sebelah Petronas.

Siapa yang sanggup tidak tinggal apa-apa untuk anak bini. Takut bila difikirkan. Ketakutan ini mewujudkan permintaan kepada produk kewangan yang menjanjikan pembayaran sejumlah tunai apabila kematian berlaku.

Bentuk paling mudah ialah khairat kematian taman / kampung. Bayar mungkin RM10 sebulan, dapat RM 2000 apabila berlaku kematian.

Bentuk yang lebih moden mungkin produk hibah yang mula timbul dengan macam – macam tawaran. Bayar bulanan, berlaku kematian, penama akan diberikan wang. Tidak perlu proses perbicaraan pembahagian harta pusaka.

Malah PTPTN pun menjanjikan produk yang seakan-akan sama melalui SSPNi-Plus. Bayar RM30 sebulan (simpanan RM20 + insurans RM10), jika pendeposit meninggal anak terima RM40,000 + simpanan terkumpul untuk satu akaun.

16 Berbelanja secara tunai.

Ataupun berbenjalah menggunakan kad debit. Cash is king, Debit card is queen. Kelebihan berbelanja secara tunai ialah kita tidak dibebani hutang, intrest daripada hutang itu, dan denda lewat kerana tidak membayar hutang.

Perbelanjaan terbaik ialah perbelanjaan tunai. Kalau dalam skala kemampuan kita, jika rumah boleh dibeli tunai, maka belilah dengan tunai. Senang hidup, ringan kepada.

Ada orang yang amat kedekut untuk mengeluarkan RM 100, tetapi kalau bayar ansuran, bayar bulanan, pakai dahulu bayar kemudian, dialah yang paling laju akan menurunkan tandatangan.

Kenapa?

Kerana hutang membuatkan kekayaan kita mengalir keluar secara senyap. Tidak terasa, tidak dikesan, sehingga segalanya sudah terlewat. Mengamalkan pembelian secara tunai lebih menyebabkan kita sedar duit yang mengalir keluar.

Hasilnya kita akan lebih berhati-hati dalam membeli. Kita akan lebih befikir sebelum berbelanja, kerana kita sayang dan tidak mahu berpisah dengan wang ditangan sewenang-wenangnya.

17. Menetapkan sasaran menyimpan mengikut keutamaan.

Menyimpan selalu gagal kerana niat yang salah. Kita menyimpan untuk moto baharu, akhirnya terpaksa dibelanjakan untuk membayar tunggakan hutang PTPTN sebab nama telah di masukkan ke dalam senarai larangan perjalanan ke luar negara atau senarai hitam daripada membuat pinjaman.

Simpananlah ikut keutamaan, dan capailah sasaran menyimpan itu satu persatu. Contohnya, simpan untuk duit muka membeli rumah dahulu, kemudian, simpan untuk selesaikan hutang, kemudian simpan untuk perkahwinan.

Dengan urutan yang betul, simpanan itu akan mencapai matlamatnya tanpa perlu disalurkan ke keperluan yang lain.

18. Melabur dalam memajukan diri sendiri.

Apa pelaburan yang terbaik?

  • Membeli segram emas setiap bulan?
  • Potongan atomatik 10% gaji ke ASB?
  • Cari downline tiga orang sebulan kerana modal puluhan ribu dah terendam dalam MLM?

Pada aku, perlaburan terbaik ialah ilmu. Sebelum buat sesuatu, belajar dahulu, cari mereka yang berjaya dan nilai sendiri diri sendiri sama ada kita boleh melakukan seumpama itu atau tidak.

Melabur dalam diri sendiri ialah meningkatkan ilmu dalam dada. Boleh melalui buku, boleh melalui seminar ataupaun pementoran. Mentor tidak semestinya berdepan, walaupun itulah sebaiknya.

Kita masih mampu memilih seorang mentor yang terkenal, seorang ikon yang kita jadikan kayu ukur untuk kejayaan kita. Langkahnya kita perhatikan, kita pelajari dan contohi.

Jadi, jangan lokek dalam berbelanja untuk meningkatkan ilmu sendiri.

Kalau kita sudah merasakan diri sendiri terlewat sekalipun, sediakan modal secukupnya untuk melabur dalam pendidikan anak-anak. Dengan harapan kehidupan yang bakal mereka lalui lebih baik dan mewah dari kita.

19. Jana pendapatan sampingan.

Orang yang paling kaya ialah orang yang tidak pernah berkerja seharipun dalam hidupnya. Kerana orang itu sentiasa melakukan apa yang disukainya dan perkara yang disukainya itu mampu memberikan pendapatan.

Bertuahlah orang itu. Sebahagian besar daripada kita bukanlah orang itu.

Sekiranya kita bukan orang yang berusaha mencapai impiannya sendiri, maka kita ialah orang yang sedang berhempas pulas menjadikan impian seseorang nyata.

Di sektor awam berpeluh bekerja merealisasikan impian Pak Menteri. Di kilang berhempas pulas menjayakan impian taukeh. Di belakang sebuah workstation dengan aplikasi grafik paling canggih, bersengkang mata mereka produksi untuk impian penerbit.

Tidak salah, kerana itu juga jalan mencari rezeki yang halal.

Pendapatan yang kada kala tidak cukup.

Maka timbul keperluan untuk mencari pendapatan sampingan, yang juga halal.

20. Bertindak untuk kaya setiap hari.

Ada orang yang tiba-tiba kaya dalam masa sehari. Mungkin menang loteri, mungkin bertuah dengan cabutan SSP BSN. Lazimnya kaya memerlukan masa.

Usaha sedikit hari ini mungkin menjadi punca kita berjaya. Usaha konsisten setiap hari mungkin akhirnya menggunung menjadi kewewahan dan leagasi.

Yang penting, tetapkan minda untuk berusaha setiap hari, dalam setiap tindakan. Tanya kepada diri sendiri:

Hari ini apa yang aku boleh buat, walaupun sedikit, akan menyebabkan aku lebih kaya pada masa akan datang.

TL/DR: 20 sifat yang membantu kita berjaya dalam menguruskan kewangan peribadi.

  1. Bermurah hati.
  2. Mengasingkan akaun bank.
  3. Menyediakan bajet bertulis.
  4. Jangan takut apabila bajet lari.
  5. Gunakan bajet untuk mencapai sasaran.
  6. Berapa boleh pinjam vs berapa boleh simpan.
  7. Beli apa yang mampu, apa yang perlu dan apa yang mahu.
  8. Mencatatkan perbelanjaan.
  9. Menyediakan duit untuk berhibur.
  10. Menghapuskan hutang.
  11. Menangguhkan pembelian.
  12. Bekerjasama dengan pasangan dan keluarga.
  13. Menabung untuk perbelanjaan besar.
  14. Tidak mudah terpengaruh dengan promosi.
  15. Bersedia untuk kecemasan.
  16. Berbelanja secara tunai.
  17. Menetapkan sasaran yang betul.
  18. Melabur dalam diri sendiri.
  19. Menjana pendapatan sampingan.
  20. Bertindak untuk kaya setiap hari.

2 thoughts on “20 tabiat yang menguntungkan dalam menguruskan kewangan peribadi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge