1 Dirham Perak Sempena Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke 63 oleh Nubex.

Nubex Silver Coin 999

Dinar dan dirham sering dikatakan sebagai alat kalis infalsi. Ramai yang memegang teguh kepercayaan ini dan menukar beberapa peratus daripada kekayaan meraka dalam bentuk logam berharga. Secara amnya, pilihan utama ialah bullion dalam bentuk syiling emas, syiling perak, jongkong emas dan jongkong perak.

Sebahagian kecil pula memilih logam berharga dalam bentuk dinar dan dirham. Kedua-duanya juga tergolong dalam kategori syiling emas dan perak.

Baru-baru ini aku membeli sekeping dirham. Satu dirham. Pembelian ini bukanlah untuk aku melawan yahudi, menentang inflasi, atau mengekalkan kekayaan. Tidak ada apa yang perlu dikekalkan kerana aku tidaklah sekaya mana.

Tanpa sebab yang lazim, aku tetap membeli dirham ini. Pembelian ini semata – mata kerana aku tertarik kepada rekaan dirham ini.

Jadi, artikel ini bukanlah bertujuan untuk menyeru pembaca membeli dinar emas tulen 999 atau dirham perak tulen 999, tetapi hanyalah sekadar berkongsi ciri dirham yang aku beli kerana keunikan rekaannya.

Dirham dimataku.

Dirham sebenarnya ialah sekeping syiling seberat 2.975g yang diperbuat daripada logam argentum dengan simbol Ag dalam jadual berkala bagi unsur. Nama biasa bagi logam argentum ialah logam perak. Dirham dihasilkan menggunakan logam perak dengan ketulenan 99.9% atau lebih dikenali sebagai fine silver 999.

Terdapat juga logam perak dengan ketulenan 92.5% dan dicampur dengan tembaga sebanyak 7.4%. Perak dari jenis ini digelar sebagai sterling silver 925 atau perak 925 dengan kegunaan lazimnya ialah untuk menghasilkan barang kemas.

Bukan sengaja perak jenis ini tidak ditulenkan sehingga 99.9% tetapi campuran itu perlu untuk membolehkan barang kemas dilentur dan dibentuk. Perak 999 tidak sesuai dijadikan barang kemas kerana kerapuhannya menyukarkan ia untuk dibentuk. Perak 999 hanya sesuai dijadikan syiling atau jongkong.

Dirham, seperti juga dinar, pernah menjadi matawang yang sah dan digunakan dengan meluas. Wang yang betul-betul membawa nilai sama dengan logam yang terkandung di dalamnya. Berbeza dengan duit kertas atau fiat money, yang nilainya sekadar ‘janji’.

Perkara ini juga kita tidak akan panjangkan dalam artikel ini, kerana kita hanya akan membincangkan tentang ciri rekaan 1 dirham Nubex semperna hari kemerdekaan yang ke-63 ini.

Dirham ini aku beli sebagai tanda hati kenangan dan simpanan yang mungkin boleh aku wariskan pada suatu hari nanti. Mungkin juga aku beli sekdar hadiah untuk diri sendiri.

1 Dirham 63 Kemerdekaan

Dirham yang aku miliki ini dihasilkan oleh syarikat Nubex Sdn. Bhd. Syiling satu dirham ini didatangkan dalam bungkusan plastik keras seumpama kad yang berukuran 54 mm x 85 mm. Saiz ini tidaklah sebesar mana. Jika hendak dibandingkan, saiznya sama dengan saiz kad pengenalan, lesen memandu, kad bank atau kad Clubcard Tesco. Mungkin berbeza hanya satu atau dua milimeter.

Aku suka saiz ini, mudah dipengang, mudah dibawa, mudah dipamer dan mudah disimpan.

1 Dirham Perak 999 : 63 Kemerdekaan

Cetakan muka hadapan kad ini terpampang ilustrasi Bapa Kemerdekaan negara dalam posisi ikonik beliau. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sedang menjulang tangan kanannya ke atas sambil melaungkan ungkapan keramat.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Bergema Stadium Merdeka PADA 31 Ogos 1957.

Ilustrasi ini diolah bersama sekuntum Bunga Raya bewarna merah. Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosa-Sinesis gah dinobat sebagai Bunga Kebangsaan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selaku Perdana Menteri Malaya yang pertama pada tahun 1960.

Bunga Raya telah didaftarkan sebagai objek warisan negara di bawah kategori Objek Warisan Ketara pada tahun 2007, sebagaimana yang termaktub dalam Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Bagi melengkapkan ilustrasi, Menara Berkembar Petronas turut dipaparkan jelas dengan sky bridge yang menjadi keunikannya. Bangunan 88 tingkat ini mula dibina pada April 1994 dan disiapkan pada Januari 1996. Pencakar langit yang menjadi kebangaan rakyat Malaysia.

Di penjuru kanan atas di hadapan kad ini tertera empat digit nombor siri dirham yang dikandungnya. Tetapi nombor ini hanya pada kadnya, tidak diukir di atas dirham itu sendiri. Di bahagian atas cetakan kad ini juda tertera perkataan 63 kemerdekaan, dengan nombor enam dicetak dalam tona berwarna biru manakala nombor tiga dicetak dalam tona bewarna merah.

Spesifikasi Teknikal 1 Dirham Kemerdekaan.

Bahagian belakang kad dihiasi bulan sabit, bintang pecah empat belas bersama jalur merah dan putih. Jalur gemilang dijadikan asas rekaan muka belakang kad ini.

Bendera Malaysia yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang lahir dari ciptaan seorang arkitek Jabatan Kerja Raya yang bernama Mohamed Hamzah. Pertandingan mencipta bendera diadakan secara terbuka dan di menangi oleh beliau.

Rekaan asal mengandungi bulan dan bintang berbucu lima. Setelah memenangi pertandingan itu, Dato Onn Jaafar telah pergi berjumpa dengan Mohamed Hamzah. Dato Onn Jaafar mencadangkan bintang berbucu lima itu diubah kepada bucu 11, melambangkan 11 negeri di dalam persekutuan.

Bagi meraikan penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu, yang kemudian dinamakan Malaysia, bintang itu diubah kepada berbucu 14 dan jalur merah putih turut ditambah menjadi 14.

Spesifikasi Teknikal 1 dirham kemerdekaan Nubex

Di belakang kad ini juga tercetak spesifikasi teknikal. Pada syiling yang lebih lama yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia, kadang kala spesifikasi teknikal ini di nyatakan sebagai data teknik.

Data ini dicetak dengan tulisan bewarna kuning keemasan di dalam Bahasa Inggeris. Berikut ialah data yang dicetak:

  • Finess 999 Fine Silver
  • Weight 2.975g
  • Diameter 25mm
  • Year Issued 2020

Alangkah uniknya jikalau semua ini dieja dalam tulisan jawi. Bagus juga jika tebelannya juga dijadikan sebahagian spesifikasi.

Rekaan Muka Hadapan 1 Dirham Kemerdekaan.

Bulan dan bintang pecah 14 seperti di Jalur Gemilang menjadi motif utama rekaan muka hadapan syiling 1 dirham ini. Sekali lagi ilustrasi Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan MERDEKA! sambil mengankat tangan kanan beliau diukir di muka hadapan dirham ini.

Bintang berbucu 14 ini dilingkari oleh 9 garisan halus yang membentuk bulatan. Di atas bintang tersebut tertera nombor 63. Di bawahnya di pula tertulis kemerdekaan 2020.

Di atas bulan sabit itupada sebelah kiri, tertera perkataan 2.975g sebagai indikasi berat syiling 1 dirham ini. Disebelah kanannya pula, masih di atas bulan sabit yang sama tertera perkataan 999, melambangkan tahap ketulenan logam ini.

Di atas bulan sabit itu juga, di bahagian tengahnya, tertera tulisan jawi “1 dirham“.

Pada pengamatan aku, ada baiknya font yang digunakan bagi menyatakan berat dan tetulenan itu dicetak dalam saiz yang sama. Sebagai tambahan juga, molek sekiranya dihadapan cetakan 999 diletakkan simbol Ag sebagai tambahan.

Rekaan Muka Belakang 1 Dirham Kemerdekaan.

Bentuk bulat kepingan 1 dirham ini di bahagian belakangnya dihiasi oleh lengkungan berkembar tiga yang membentuk bulatan. Bulatan ini terpisah kepada dua bahagian, atas dan bawah. Penyambung kedua – dua bahagian ini ialah kalimah Allah dalam khat khufi di sebelah kanan manakala sebelah kiri pula kalimah Muhammad juga dicetak dalam khat khufi.

Bulatan tengahnya dihiasi pagar dari corak geometrik yang biasanya menjadi motif seni bina di dalam masjid. Di dalam bulatan ini terukir sebuah khat indah yang bermaksud;

“Tiada Tuhan melainkan Allah yg Maha Esa, tiada sekutu bagiNya”

Aku Dan Satu Dirham.

Inilah dirham pertama yang aku beli. Mungkin bukan yang terakhir.

Sebagai kenangan, sebagai ingatan, sebuah tanda, sedirham warisan.

1 thought on “1 Dirham Perak Sempena Ulang Tahun Kemerdekaan yang ke 63 oleh Nubex.

Leave a Reply to mrhanafi Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge